Lapangan Terbang Lahad Datu
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) bersetuju dengan cadangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk melaksanakan projek naik taraf Lapangan Terbang Lahad Datu bernilai RM20 juta bagi menyokong usaha merealisasikan Taman Perindustrian POIC Sabah Sdn Bhd sebagai Zon Perdagangan Bebas (FTZ) pertama di Sabah.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau berkata, perkara itu dimaklumkan MOT dalam jawapan bertulis terhadap soalan yang dikemukakannya pada Persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini.
Menurut beliau, kementerian itu memaklumkan bahawa projek penaiktarafan berkenaan akan dibiayai menggunakan Dana Pembangunan Lapangan Terbang (Airport Development Fund – ADF).
“MOT menjelaskan projek ini dijangka meningkatkan kapasiti dan kemudahan Lapangan Terbang Lahad Datu bagi menyokong aktiviti perindustrian dan perdagangan di POIC Lahad Datu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Madius yang juga Pengerusi POIC Sabah, sebelum itu meminta MOT menyatakan sejauh mana keseriusan Kerajaan dalam merealisasikan POIC Sabah sebagai FTZ, khususnya melibatkan aspek logistik, pengangkutan udara dan penaiktarafan lapangan terbang.
Beliau berkata, MOT turut memaklumkan bahawa kerja-kerja menaik taraf Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar (SBCP) telah diluluskan dan dijangka siap menjelang 2027.
Katanya, projek itu akan meningkatkan kapasiti pengendalian kontena pelabuhan berkenaan kepada 1.25 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU).
“MOT juga menjelaskan bahawa peralihan pengurusan dan operasi SBCP kepada DP World pada 2024 telah meningkatkan kecekapan pengendalian pelabuhan tersebut,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, kementerian berkenaan turut mendedahkan bahawa projek penaiktarafan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) bernilai RM442.30 juta yang dibiayai menerusi inisiatif pembiayaan swasta oleh MAHB telah diluluskan pada 8 November 2024.
Menurutnya, MAHB juga akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah sebagai rakan strategik bagi membangunkan semula Terminal 2 LTAKK sebagai hab logistik udara dan kargo.
Dalam pada itu, Madius merakamkan penghargaan atas sokongan yang diberikan MOT terhadap pembangunan POIC.
“Saya berharap segala komitmen yang diberikan khususnya dalam penaiktarafan kemudahan logistik ini dapat dilaksanakan segera dan disiapkan mengikut perancangan sekali gus merealisasikan FTZ pertama di POIC Lahad Datu yang akan merancakkan sektor perindustrian dan pembuatan di Sabah,” katanya.


































