TUARAN: Penganjuran Rhinos Cup (Sportink) 2026 dilihat mampu membuka laluan lebih luas kepada bakat muda Sabah untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi, sekali gus menjadi medan penting dalam memperkukuh masa depan bola sepak negeri.
Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Mohammad Ghazali Hajiji berkata, kejohanan berkenaan bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya platform penting dalam usaha mengenal pasti dan menggilap potensi pemain muda berbakat dari seluruh daerah di Sabah.
Beliau berkata, Rhinos Cup 2026 yang julung kali diadakan di Sabah turut menjadi medan persediaan kepada pasukan daerah untuk membuktikan kemampuan, memburu kejuaraan dan seterusnya berpeluang mewakili Sabah ke Liga Remaja Kebangsaan 2026 di Akademi Mokhtar Dahari, Gambang, Pahang.
Katanya, kejohanan itu merupakan peluang terbaik kepada Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) untuk membentuk sebuah pasukan berkualiti dalam kalangan anak tempatan yang mampu memberikan saingan kepada pasukan dari negeri-negeri lain.
“Rhinos Cup merupakan satu platform terbaik dalam usaha mengenal pasti bakat muda serta menyediakan pasukan yang lebih bersedia untuk menghadapi cabaran pada masa akan datang,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Rhinos Cup (Sportink) 2026 sempena Kejohanan Liga Remaja Kebangsaan 2026 di Hilton Garden Inn Kota Kinabalu, dekat sini, hari ini.
Ghazali berkata, kejayaan bola sepak Sabah bukan hanya bergantung kepada kemampuan pemain di atas padang, sebaliknya perlu diperkukuh menerusi sistem pengurusan yang teratur serta kedudukan kewangan yang kukuh.
Beliau percaya dengan pengurusan yang baik dan tersusun, SAFA mampu membawa bola sepak Sabah ke tahap lebih tinggi dan seterusnya menjadikan pasukan negeri lebih disegani pada masa hadapan.
Pada masa sama, beliau menyambut baik pelaksanaan pelbagai program pembangunan sempena kejohanan berkenaan termasuk klinik bola sepak, klinik bola sepak pantai dan street football yang melibatkan pemain bawah 12, 14 dan 17 tahun.
Menurutnya, program seumpama itu memberi peluang kepada pemain muda menimba pengalaman serta mendapat pendedahan dan bimbingan daripada jurulatih, sekali gus membantu usaha mengenal pasti potensi pemain sejak di peringkat akar umbi.
Beliau berharap program pembangunan itu dapat diteruskan dan diperluaskan ke seluruh daerah di Sabah supaya lebih ramai pemain muda tempatan memperoleh peluang dan pendedahan yang sewajarnya.
Majlis anjuran Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia SAFA itu turut dihadiri Naib Presiden IV SAFA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia SAFA, Rafie Robert, Setiausaha Agung SAFA, barisan Ahli Majlis Tertinggi SAFA serta wakil persatuan bola sepak daerah.


































