Dr. Joachim (kiri) bersama Nanta (tengah) semasa Program Kolaborasi Strategik Kerja Raya Malaysia Tahun 2026.
KOTA KINABALU: Hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan pelaksanaan pembangunan infrastruktur yang lebih berkesan, berkualiti dan memberi manfaat berpanjangan kepada rakyat.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim berkata, kerjasama yang dibina atas semangat saling mempercayai, saling melengkapi dan perkongsian kepakaran merupakan asas penting dalam memperkukuh keupayaan merancang, melaksana dan menyelenggara infrastruktur negara.
Beliau berkata, penganjuran program itu mencerminkan kesungguhan semua pihak untuk memperkukuh sinergi antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, agensi teknikal, badan profesional dan rakan industri dalam menjayakan agenda pembangunan negara.
“Semangat kolaborasi seperti inilah yang perlu terus diperkasa bagi memastikan agenda pembangunan negara dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, berkesan dan berimpak tinggi.
“Pembangunan infrastruktur pada hari ini bukan lagi sekadar menyediakan jalan raya, jambatan atau bangunan. Infrastruktur merupakan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, peningkatan daya saing, kesejahteraan masyarakat serta penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap dan berkesan,” katanya ketika merasmikan Program Kolaborasi Strategik Kerja Raya Malaysia Tahun 2026 di sini hari ini.
Dr. Joachim berkata, setiap pelaburan dalam pembangunan infrastruktur perlu dilaksanakan melalui perancangan strategik, pelaksanaan berkualiti dan pengurusan aset yang cekap serta mampan.
Pada masa sama, katanya, setiap projek perlu memberikan nilai terbaik kepada rakyat menerusi tadbir urus yang telus, penggunaan sumber secara berhemat dan budaya penambahbaikan berterusan.
Beliau berkata, Sabah mempunyai landskap pembangunan yang unik dengan keluasan geografi yang besar, bentuk muka bumi yang pelbagai, kawasan pedalaman yang luas serta taburan penempatan yang berselerak, sekali gus menuntut pendekatan pembangunan yang lebih strategik, bersepadu dan responsif terhadap keperluan setempat.
“Dalam menghadapi cabaran tersebut, hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri merupakan prasyarat penting kepada kejayaan pelaksanaan pembangunan.
“Kerjasama yang terjalin perlu terus diperkukuhkan, bukan sahaja dalam pelaksanaan projek, malah merangkumi penyelarasan dasar, perkongsian kepakaran, pembangunan modal insan, pemanfaatan teknologi serta pengukuhan tadbir urus bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut menyifatkan deklarasi yang dimeterai sempena program itu sebagai satu langkah ke hadapan dalam memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, khususnya dalam pengukuhan sistem pengurusan aset jalan yang lebih moden, bersepadu dan mampan.
“Adalah menjadi harapan saya agar inisiatif ini menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih luas dalam bidang pendigitalan, perkongsian data serta inovasi pengurusan aset awam, sekali gus memperkukuhkan keupayaan sektor kerja raya untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cekap, responsif dan bernilai tinggi kepada rakyat,” katanya.
Dr. Joachim berharap program yang berlangsung selama tiga hari itu menjadi platform bukan sahaja untuk perkongsian ilmu, tetapi juga mencetuskan idea baharu, membina jaringan profesional dan mengenal pasti pendekatan yang boleh dilaksanakan secara bersama bagi memperkukuh sektor kerja raya negara.
Beliau turut menyeru supaya segala perbincangan, idea dan pandangan yang diketengahkan sepanjang program diterjemahkan kepada tindakan nyata, dasar yang lebih berkesan serta amalan terbaik bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan dan pengurusan infrastruktur di seluruh negara.
Turut hadir Menteri Kerja Raya Persekutuan, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Persekutuan, Datuk Seri Azman Ibrahim; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Persekutuan, Datuk Ir. Ibrahim Esa; Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Ridhwan Roger Linus; Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Sr. Ahmad Farrin Mokhtar; Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak, Datu Adj Prof. Ir. Ts .Gs. Br. PMr. QPr. Dr. Cassidy Morris; dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Sabah, Baharuhom K.K. Sogon.


































