Masidi (lima dari kanan) menerima cenderamata daripada Dr. William.
KOTA KINABALU: Usaha merealisasikan pembinaan Hospital Gantian Ranau kini giat dilaksanakan menerusi kerjasama antara Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Kerajaan Negeri bagi memodenkan kemudahan kesihatan serta meningkatkan akses penduduk daerah itu kepada perkhidmatan yang lebih berkualiti.
Pengarah JKNS, Datuk Dr. William Gotulis berkata, projek berkenaan merupakan antara keutamaan strategik jabatan itu dalam memperluaskan kapasiti penyampaian perkhidmatan kesihatan di Ranau sejajar dengan pertumbuhan penduduk dan peningkatan keperluan perkhidmatan perubatan.
Menurutnya, hospital gantian itu akan menyediakan kemudahan yang lebih moden, selesa dan komprehensif, termasuk kapasiti lebih besar untuk menampung pertambahan pesakit serta mengurangkan kesesakan di Hospital Ranau sedia ada.
“Ia bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan rakyat, malah memperkukuh keupayaan sistem kesihatan awam di kawasan luar bandar dan pedalaman, selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri serta Kerajaan Persekutuan untuk memastikan setiap rakyat menikmati akses kepada kemudahan kesihatan yang berkualiti,” katanya ketika mengetuai rombongan JKNS dalam kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun baru-baru ini.
Dalam pertemuan itu, Masidi yang juga ADUN Karanaan dimaklumkan mengenai perkembangan semasa projek Hospital Gantian Ranau, termasuk status perancangan dan cadangan tapak pembinaannya.
Masidi menyambut baik pelaksanaan projek berkenaan dan menyifatkannya sebagai satu inisiatif penting yang bakal meningkatkan kapasiti penyampaian perkhidmatan kesihatan di Ranau serta memberi manfaat kepada penduduk daerah itu dan kawasan sekitarnya.
“Hospital gantian itu turut dijangka merangsang pembangunan kawasan sekitar melalui peningkatan infrastruktur, pewujudan peluang pekerjaan serta pertumbuhan aktiviti ekonomi setempat, sekali gus memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan JKNS atas komitmen berterusan dalam merealisasikan projek tersebut serta berharap pembinaannya dapat dilaksanakan mengikut jadual demi kesejahteraan rakyat Ranau.


































