MENUMBOK: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memilih Kampung Sekalong di sini sebagai Kampung Angkat MADANI bagi tahun 2026 dengan peruntukan RM500,000 untuk melaksanakan lima projek pembangunan yang dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pemilihan kampung itu dibuat berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan, termasuk tahap liputan kemudahan asas yang masih berada di bawah 50 peratus.
Beliau berkata, Program Kampung Angkat MADANI yang diperkenalkan Kerajaan pada 2024 bertujuan merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar melalui pelaksanaan projek fizikal serta pengisian bukan fizikal seperti sesi libat urus komuniti dan penyediaan perkhidmatan bergerak oleh pelbagai agensi kerajaan.
“Bagi tahun 2026, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM200 juta bagi pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI melibatkan 500 kampung terpilih di seluruh negara.
“Setiap kementerian dan agensi yang terlibat menerima peruntukan RM500,000 untuk melaksanakan projek pembangunan di kampung angkat masing-masing,” katanya sempena pelancaran Kampung Angkat MADANI KPDN di Kg. Sekalong, di sini, hari ini.
Armizan berkata, hasil sesi libat urus dan maklum balas daripada penduduk serta pemimpin tempatan, lima projek fizikal telah dikenal pasti untuk dilaksanakan di kampung berkenaan.
Projek tersebut melibatkan pembinaan dewan serba guna terbuka, menaik taraf jalan kampung, pembinaan dan pembaikan pembetung, pemasangan lampu solar serta pembinaan mercu tanda Kg. Sekalong.
Armizan berkata, KPDN sebelum ini melaksanakan Program Kampung Angkat MADANI di Mukim Tikam Batu, Kedah pada 2025 dan Mukim Kaiduan, Papar pada 2024.
Beliau turut memaklumkan bahawa kementeriannya terlibat dalam Program Santuni MADANI yang berkonsepkan “satu pemimpin, satu kampung” seperti yang dicetuskan Perdana Menteri.
“Pada masa ini terdapat tujuh kampung di bawah Program Santuni MADANI KPDN melibatkan beberapa negeri termasuk Sabah, Kedah, Pahang dan Perak yang diterajui oleh Menteri, Timbalan Menteri, pengurusan tertinggi serta agensi-agensi di bawah KPDN.
“Program ini memperkukuh budaya kepedulian dan rasa kepunyaan terhadap kampung kelahiran masing-masing, di samping membantu meningkatkan potensi kampung serta keupayaan masyarakat setempat,” katanya.
Menurutnya, pelancaran Kampung Angkat MADANI KPDN di Kg. Sekalong mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dalam menyediakan kemudahan asas dan perkhidmatan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Katanya, antara pengisian program termasuk Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM), perkhidmatan kerajaan seperti saringan kesihatan, advokasi kepenggunaan serta pelbagai aktiviti interaksi bersama penduduk dan kenduri rakyat.


































