Hajiji mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri tahun ini di Menara Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mahu keutamaan diberikan kepada projek-projek segera serta yang boleh dilaksanakan serta-merta dan memberi manfaat cepat kepada rakyat, khususnya dalam sektor pendidikan dan kesihatan.
Berdasarkan laporan MyProjek, beliau berkata, Sabah menerima peruntukan sebanyak RM6.59 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), melibatkan 1,233 projek atau program, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan memastikan negeri ini terus maju selaras aspirasi Kerajaan MADANI dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
“Saya juga mahu pemantauan projek pembangunan dilaksanakan dengan lebih kerap bagi mengelakkan kelewatan.
“Isu dan cabaran pelaksanaan perlu diteliti serta dirujuk kepada saluran sewajarnya seperti agensi pusat berkaitan dan Kerajaan Negeri, khususnya apabila melibatkan pembiayaan, tanah dan utiliti,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika Mesyuarat Pembangunan Daerah Kota Kinabalu pada 15 Mac lalu, menekankan pelaksanaan segera projek berskala kecil atau “low-hanging fruit” yang mampu memberi impak pantas kepada rakyat.
“Projek-projek kecil ini mesti dilaksanakan secara cekap, pantas, mengikut jadual dan dengan penuh integriti supaya dapat dinikmati rakyat Sabah dengan segera.
“Tidak boleh diterima jika projek dalam kategori ini mengalami kelewatan atau menjadi ‘sakit’, yang lazimnya berpunca daripada isu tempatan seperti pemilikan tanah dan utiliti,” katanya sambil menggesa agensi pelaksana memantau projek tersebut secara rapi.
Beliau berkata, Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Sabah 2026 merupakan kesinambungan agresif agenda pembangunan SMJ.
“Pada tahun 2026, Kerajaan Negeri melancarkan SMJ 2.0 (2026–2030) yang meletakkan pembasmian kemiskinan sebagai teras utama bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir,” katanya.
Dengan peruntukan belanjawan negeri berjumlah RM12.02 bilion bagi tahun 2026, Hajiji berkata, sebahagian besar dana disalurkan kepada projek infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya bagi merangsang aktiviti ekonomi di semua daerah.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif turut dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti hidup serta memperkukuh jaringan keselamatan sosial kepada golongan rentan, termasuk Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR).
“Kejayaan Pelan Pembangunan SMJ 1.0 memberi keyakinan bahawa kita berada di landasan yang tepat.
“SMJ 2.0 merupakan kesinambungan yang menuntut transformasi berterusan, termasuk perubahan minda, budaya kerja dan penciptaan nilai baharu untuk rakyat,” katanya.
Hajiji berkata, di bawah SMJ 2.0, Kerajaan Negeri terus memberi tumpuan kepada tiga sektor utama iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan, di samping memastikan pertumbuhan ekonomi mampan, memperkasa modal insan dan kesejahteraan rakyat serta mempertingkat infrastruktur dan kesalinghubungan hijau.
Menurutnya, ini termasuk mempercepat penyelesaian isu bekalan air, elektrik dan rangkaian jalan raya, khususnya Lebuhraya Pan Borneo.
Hajiji menegaskan pelaporan projek lewat dalam mesyuarat adalah penting bagi memastikan isu pelaksanaan dapat diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.
“Kerajaan Negeri memandang serius perkara ini kerana kelewatan projek akan meningkatkan kos dan menyebabkan kerugian kepada Kerajaan,” katanya.
Sebagai Pengerusi MTPNg, beliau menggesa semua pihak berkaitan kekal komited dalam menangani kelewatan pelaksanaan projek pembangunan di Sabah, khususnya projek “low-hanging fruit” yang memberi impak tinggi dan segera kepada rakyat.


































