Suspek dengan kenderaan yang diubahsuai untuk membawa sebuah tangki IBC berkapasiti 1,000 liter.
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah berjaya menumpaskan satu kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi operasi penguatkuasaan di bawah Ops Tiris 4.0 di sekitar ibu negeri pada 10 April lalu.
Operasi tersebut dilaksanakan hasil pemantauan dan risikan berterusan terhadap aktiviti mencurigakan di beberapa stesen minyak sebelum serbuan dibuat di sebuah premis di Penampang.
Dalam serbuan itu, sepasukan pegawai KPDN mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Trooper sedang melakukan aktiviti mencurigakan di salah satu pam minyak.
Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai sedang mengisi diesel ke dalam tangki tambahan melalui saluran penutup minyak kenderaan berkenaan, melebihi had yang dibenarkan.
Pemeriksaan lanjut turut menemukan sebuah tangki IBC berkapasiti 1,000 liter yang mengandungi kira-kira 250 liter diesel disyaki untuk tujuan penyelewengan.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM12,897.35, melibatkan kenderaan, tangki simpanan, pam elektrik, hos getah serta minyak diesel yang disita.
Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, operasi itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kementerian bagi mengekang ketirisan barang kawalan bersubsidi.
“Kes ini adalah hasil pemantauan rapi dan risikan berterusan KPDN terhadap aktiviti mencurigakan di stesen minyak, khususnya melibatkan penyalahgunaan diesel bersubsidi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, tindakan tersebut juga selaras dengan arahan KPDN yang berkuat kuasa mulai 1 April lalu bagi mengehadkan penjualan diesel mengikut kategori kenderaan dengan had antara 50 hingga 150 liter setiap transaksi.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan bekalan diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter tidak dieksploitasi oleh sindiket penyeludupan atau pihak industri yang tidak layak.
Suspek yang ditahan bersama pengusaha stesen minyak terlibat akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala kesalahan berulang boleh dikenakan hukuman lebih berat.
Dalam pada itu, Shahril menegaskan KPDN akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan bagi memastikan ketirisan subsidi dapat dibendung sepenuhnya.
“KPDN mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat, namun masyarakat perlu bertanggungjawab dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan kegusaran awam,” katanya.


































