Masiung disambut meriah sejurus tiba di Dewan Keramuak.
TONGOD: Pengerusi Kumpulan Sedco, Datuk Masiung Banah tidak menolak kemungkinan harga bahan api akan diseragamkan di seluruh negara sekiranya konflik di Asia Barat terus memuncak.
Menurutnya, langkah mengekalkan subsidi minyak secara menyeluruh bukan lagi pilihan mampan berikutan keupayaan kewangan Kerajaan yang mempunyai had tertentu.
ADUN Kuamut itu berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan majlis kesyukuran pilihan raya negeri (PRN-17) serta sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Kuala Keramuak, di sini, kelmarin.
Masiung berkata, sekiranya krisis ekonomi global berpanjangan dan ketegangan melibatkan Iran serta Amerika Syarikat dan Israel semakin memuncak, penyelarasan harga petroleum antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung tidak mustahil dilaksanakan.
Katanya, kenaikan harga minyak dunia akan memberi kesan langsung kepada peningkatan harga barangan keperluan harian, khususnya barangan import.
Masiung turut menjangkakan subsidi minyak bagi penduduk di Wilayah Borneo berkemungkinan dibekukan sekiranya kedudukan kewangan kerajaan semakin terhad.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat di Sabah agar bersedia menghadapi peningkatan kos sara hidup akibat ketidaktentuan ekonomi global yang sukar dielakkan.
Menurutnya, semua lapisan masyarakat perlu mengubah gaya hidup dengan lebih berhemah serta mengamalkan perbelanjaan secara berjimat-cermat.
Beliau turut mendedahkan bahawa anggaran semasa menunjukkan subsidi petrol dan diesel di seluruh negara kini mencecah sekitar RM6 bilion sebulan, berbanding hanya RM700 juta sebelum tercetusnya konflik tenaga global.
Jelasnya, kos subsidi bagi Sabah dan Sarawak sahaja dianggarkan sekitar RM383 juta sebulan.
Sementara itu, harga minyak di Semenanjung bagi tempoh 9 hingga 15 April mencatatkan kenaikan, dengan RON95 meningkat kepada RM4.17 seliter dan RON97 kepada RM5.35 seliter, masing-masing naik 40 sen.
Harga diesel di Semenanjung pula melonjak kepada RM6.72 seliter, meningkat sebanyak 70 sen.
Bagaimanapun, harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan ketika ini masih kekal pada RM2.15 seliter, manakala RON95 bersubsidi (BUDI) kekal pada RM1.99 seliter.
Turut hadir, Pegawai Daerah Tongod Hadzlan Jablee dan Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM), Tokyo Hashim Omar bersama lebih 400 penduduk yang memeriahkan majlis berkenaan.


































