Julita dan rombongannya bergambar bersama kakitangan HQE II.
KOTA KINABALU: Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki meninjau Hospital Queen Elizabeth (HQE) II di sini hari ini sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk menaiktaraf kualiti di semua fasiliti kesihatan di Sabah.
Lawatan kerja itu merupakan salah satu daripada siri lawatan beliau ke hospital-hospital di negeri ini, selepas lawatan terdahulu ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan.
Menurutnya, tujuan lawatan adalah untuk menilai secara langsung operasi hospital serta keperluan petugas dan pesakit.
“Ini adalah lawatan kerja yang memang saya niatkan untuk buat bersama pihak JKNS dan pasukan Kementerian. Daripada 24 hospital di Sabah, ini baru yang kedua saya lawati,” katanya ketika ditemui media.
Beliau berkata, lawatan itu membolehkan beliau melihat sendiri beberapa cabaran yang dihadapi hospital, termasuk aspek keselesaan pesakit dan kakitangan.
“Ada beberapa perkara yang perlu kita selesaikan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan kerajaan negeri, contohnya isu tempat letak kereta. Ini penting bukan sahaja untuk pesakit, tetapi juga untuk doktor, jururawat dan kakitangan lain di sini,” jelasnya.
Mengenai Pusat Jantung Sabah yang sedang dinaik taraf di HQE II, Julita berkata, proses dan kerja awalan menaik taraf di bangunan hospital sedia ada berjalan dengan lancar.
“Ruang sedia ada sedang dinaik taraf untuk mewujudkan seksyen khas bagi Pusat Jantung Sabah yang lebih canggih. Secara fizikal, kerja menaik taraf belum memasuki fasa itu sepenuhnya, tetapi beberapa fasa sedang dirancang dan dalam proses pelaksanaan,” katanya.
Beliau menegaskan lawatan seperti itu penting bagi memastikan setiap hospital di Sabah dapat beroperasi dengan baik dan menyediakan perkhidmatan yang lebih selesa.
“Melalui lawatan ini, kita dapat kenal pasti keutamaan sebenar di lapangan dan menyusun tindakan susulan dengan lebih dekat,” katanya.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri, Datuk Rina Jainal; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Maria Chong; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr. William Gotulis; serta Pengarah HQE II, Dr. Ferro Firdaus Ibrahim.
































