KOTA KINABALU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali menegaskan bekalan bahan api di Sabah kekal mencukupi dan stabil, sekali gus menafikan dakwaan berlaku kekurangan di beberapa stesen minyak di negeri ini.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor di Menara Kinabalu, di sini hari ini.
Menurutnya, dalam pertemuan itu beliau turut memberikan taklimat berhubung hasil keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAP).
“Dalam pertemuan ini, saya telah memberikan taklimat hasil keputusan mesyuarat JTPAP yang telah diaktifkan sebagai langkah memperkukuh agenda penguatkuasaan untuk membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan bahan api khususnya di kawasan sempadan termasuk di negeri Sabah.
“Risiko ketirisan semakin meningkat berikutan konflik Asia Barat dan jurang harga yang tinggi antara harga bahan api bersubsidi di dalam negara dengan harga pasaran serta harga runcit di negara-negara jiran,” katanya.

Armizan Mohd. Ali
Armizan berkata, beliau juga menjelaskan kepada Ketua Menteri mengenai khabar angin berkaitan dakwaan berlakunya ketidakcukupan bekalan bahan api di Sabah yang dikaitkan dengan gangguan bekalan di negara jiran.
“Sehingga kini tidak berlaku kekurangan bekalan bahan api petrol, diesel dan LPG dalam negara. Bekalan semasa adalah mencukupi malah situasi di negara kita adalah lebih stabil berbanding beberapa negara lain termasuk negara serantau,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan isu yang timbul sebenarnya hanyalah melibatkan masalah logistik yang terpencil sehingga menyebabkan kelewatan penghantaran dalam tempoh beberapa jam di beberapa lokasi.
“Perkara yang diuar-uarkan adalah isu terpencil berhubung logistik yang menyebabkan kelewatan penghantaran dalam tempoh beberapa jam di beberapa lokasi, khususnya dalam tempoh musim perayaan yang menyaksikan peningkatan permintaan.
“Perkara ini telah ditangani dan pemantauan berterusan dilaksanakan bagi memastikan penghantaran bekalan berjalan lancar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan bahan api adalah terjamin.
Dalam pada itu, Armizan turut mengingatkan bahawa sebarang penjualan dan pengisian bahan api selain daripada tangki kenderaan tanpa permit khas adalah satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta peraturan berkaitan.
“KPDN tidak akan berkompromi dan akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan. Orang ramai digalakkan untuk menyalurkan aduan kepada platform aduan KPDN sekiranya terdapat aktiviti yang mencurigakan.
“Pengusaha stesen minyak juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan melaporkan sebarang pelanggaran kepada pihak berkuasa,” katanya.
































