Hajiji (kanan) berbincang dengan Armizan semasa kunjungan hormat tersebut.
KOTA KINABALU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan melalui kementeriannya sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan bekalan bahan api di Sabah kekal mencukupi dan stabil.
Beliau berkata, pemantauan rapi serta penyelarasan berterusan bersama agensi berkaitan akan terus diperkukuh bagi mengelakkan sebarang gangguan bekalan, khususnya di kawasan luar bandar dan sektor kritikal.
Armizan berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Pertemuan itu memberi tumpuan kepada isu bekalan bahan api di Sabah, khususnya petrol dan diesel, susulan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya kehabisan stok yang boleh menjejaskan pengguna serta kelangsungan sektor ekonomi negeri.
Ketua Menteri menegaskan kepentingan bekalan bahan api yang konsisten bagi menyokong aktiviti ekonomi negeri, termasuk sektor logistik, perikanan dan pertanian yang banyak bergantung kepada penggunaan diesel.

Hajiji (tengah) menyampaikan cenderamata kepada Mohd. Salim.
Pada hari yang sama, Hajiji turut menerima kunjungan hormat Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Mohd. Salim Fateh Din yang memberi taklimat mengenai kemajuan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Sabah serta inisiatif Bandar Pintar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK Smart City).
Turut hadir Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. James Ratib; Ahli SKMM, Jeneral (B) Tan Sri Dr. Zulkifeli Mohd Zin; serta pegawai kanan suruhanjaya itu.
































