David Chan
KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) menghargai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) atas pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
Pengerusi YPNM Sabah, David Chan berkata, pelaksanaan skim tersebut amat penting bagi melindungi kepentingan pengguna serta memastikan barangan makanan asas dijual pada harga berpatutan ketika musim perayaan.
“Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan ini sangat penting bagi memastikan pengguna tidak terbeban dengan kenaikan harga barangan keperluan ketika permintaan meningkat menjelang Aidilfitri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata. YPNM turut menasihatkan semua peniaga dan peruncit supaya sentiasa peka serta mematuhi senarai barangan makanan yang telah digazetkan di bawah skim kawalan harga berkenaan.
“Peniaga perlu menghormati peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan mengelakkan sebarang bentuk pencatutan harga yang boleh menjejaskan kepentingan pengguna,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata, ketegangan geopolitik dan konflik yang berlaku di Timur Tengah berpotensi menimbulkan ketidaktentuan harga bahan api di pasaran global.
Sehubungan itu, katanya, pengguna digalakkan berbelanja secara bijak serta mengurus perbelanjaan isi rumah dengan lebih berhemah sepanjang musim perayaan.
“Hari Raya adalah masa untuk kita meraikan kegembiraan, kesyukuran dan kebersamaan. Justeru semua pihak termasuk peniaga, penguat kuasa dan pengguna perlu bekerjasama bagi memastikan suasana pasaran yang adil dan stabil,” katanya.
Chan berkata, YPNM akan terus komited memperjuangkan hak pengguna serta menyokong usaha kerajaan dalam memastikan ketelusan harga, keadilan pasaran dan kestabilan ekonomi demi kesejahteraan rakyat Malaysia.


































