KOTA KINABALU: Majlis Iftar dan Sumbangan Ramadan (MISUR) 3.0 yang berlangsung dalam suasana penuh keberkatan berjaya menghimpunkan masyarakat setempat, badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat serta pengamal media bagi menyemarakkan semangat kebajikan dan perpaduan sempena Ramadan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang merasmikan majlis itu merakamkan penghargaan kepada Pertubuhan Masyarakat Interaktif Suara Sabah (MISUR) dan Pertubuhan Kebajikan Cahaya Sabah selaku penganjur utama program berkenaan.
Menurutnya, penganjuran program seumpama itu mencerminkan semangat kerjasama dan keprihatinan sosial yang tinggi dalam kalangan masyarakat, khususnya dalam menyantuni golongan memerlukan sepanjang bulan Ramadan.
“Program seperti MISUR bukan sahaja memberi bantuan kepada golongan asnaf, anak-anak yatim serta ibu tunggal, malah menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat, NGO dan sektor korporat,” katanya.
Beliau berkata, MISUR yang ditubuhkan pada 2024 dan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menunjukkan komitmen dalam melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan dan kemasyarakatan.
Katanya, MISUR 3.0 merupakan penganjuran kali ketiga hasil kerjasama strategik pelbagai pihak termasuk jawatankuasa masjid, NGO berdaftar serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Menurut Nizam, usaha berkenaan amat signifikan khususnya di kawasan Kapayan yang mempunyai masyarakat majmuk dengan umat Islam sebagai golongan minoriti, sekali gus menjadikan program seperti ini penting dalam memupuk perpaduan serta memperkukuh hubungan masyarakat setempat.
Dalam masa sama, beliau turut menghargai peranan pengamal media yang membantu menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat serta meningkatkan kesedaran terhadap isu pembangunan dan kebajikan di Sabah.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan dan diperluaskan supaya lebih ramai golongan memerlukan dapat disantuni bukan sahaja pada bulan Ramadan, tetapi juga sepanjang tahun.
Pada majlis itu, seramai 66 golongan asnaf menerima sumbangan yang disampaikan di Wisma Kinsabina, Penampang.
Hadir sama Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kapayan, Datuk Dr. Stephen Jacob Jimbangan; Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat, Emmie Martin Indang; serta ahli jawatankuasa Gagasan Rakyat Bahagian Kapayan.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Dr. Abdul Rashid Hassan yang juga Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Kapayan berkata, majlis berkenaan bukan sahaja bertujuan menyantuni golongan memerlukan, malah menjadi platform menghargai peranan media dalam masyarakat.
Menurutnya, majlis tersebut membawa tema “Media Tanpa Sempadan, Media dan Fakta Berpisah Tiada”, yang menekankan kepentingan media sebagai penyampai maklumat tepat, adil dan beretika dalam era digital.
“Dalam dunia yang sarat dengan pelbagai sumber maklumat, media berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat dengan fakta dan kebenaran,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja, penyumbang, sukarelawan dan rakan media yang membantu menjayakan program berkenaan.
MISUR 3.0 turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada 66 golongan asnaf, anak yatim dan ibu tunggal di sekitar kawasan Kapayan sebagai usaha memperkukuh jaringan kebajikan masyarakat.


































