Azizah menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada golongan asnaf.
TUARAN: Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus memperkukuh komitmen kebajikan kepada masyarakat melalui penganjuran Program Penyerahan Bakul Makanan kepada golongan asnaf sempena bulan Ramadan, melibatkan kawasan Parlimen Kota Belud dan Tuaran.
Program tersebut diadakan di Dewan Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah, Tuaran dan disempurnakan oleh Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Azizah Mohd. Dun yang turut menyampaikan bakul makanan kepada para penerima.
Turut hadir ialah Ketua Wanita Parti Cinta Sabah (PCS), Simi Linggom; Setiausaha Wanita GRS, Salmah Sait; Penolong Bendahari Wanita GRS, Datuk Surinam Sadikun; Ketua Penerangan Wanita GRS, Datin Belynda Buntot; Timbalan Ketua Penerangan Wanita GRS, Julia ABT; Penyelaras Wanita GRS Parlimen Kota Belud, Nurul Fadzilah Noordin; serta Penyelaras Wanita GRS Parlimen Tuaran, Datuk Jamaliah Antalip bersama barisan EXCO Wanita GRS.
Program itu turut disertai oleh penyelaras Wanita GRS di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) serta ahli-ahli Wanita GRS dari kedua-dua kawasan Parlimen.
Dalam ucapannya, Azizah menegaskan bahawa kepimpinan wanita bukan sahaja perlu kukuh dari segi organisasi, malah harus berteraskan nilai kasih sayang, empati dan semangat kebersamaan dalam mendekati masyarakat yang memerlukan.
Beliau berkata, bulan Ramadan merupakan waktu terbaik untuk memperkukuh amalan kebajikan selain mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Inisiatif seperti ini bukan sekadar membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, tetapi juga memperkukuh semangat perpaduan serta memperluaskan peranan Wanita GRS dalam mendekati masyarakat,” katanya.
Program tersebut berlangsung dengan lancar dan penuh semangat kebersamaan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Wanita GRS dalam melaksanakan aktiviti kebajikan serta memperkukuh perjuangan GRS.































