Masidi bersama Ng dan rombongan.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun menerima kunjungan hormat daripada Sabah Oil and Gas Services Council (SOGSC) di pejabat beliau, di sini hari ini.
Dalam pertemuan tersebut, SOGSC memberi taklimat kepada Menteri mengenai penganjuran Persidangan dan Pameran Oil, Gas and Energy Services (OGSE) 2026 yang dijadual berlangsung pada 4 hingga 6 Jun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Taklimat itu turut merangkumi pencapaian SOGSC, khususnya dalam usaha membangunkan vendor minyak dan gas tempatan di Sabah.
Masidi menegaskan bahawa syarikat-syarikat Sabah tidak seharusnya terus menjadi pemerhati, sebaliknya perlu tampil sebagai pemilik dan pemain aktif dalam industri minyak dan gas.
“Menerusi penganjuran OGSE 2026 dengan naratif tunggal, ‘Memacu Sabah sebagai Sempadan Tenaga Malaysia’, syarikat-syarikat Sabah tidak lagi mempunyai alasan untuk tidak cemerlang dalam industri OGSE,” katanya.
Sementara itu, Penasihat SOGSC, Datuk Willie Ng menyifatkan OGSE 2026 sebagai kemuncak kepada kemajuan dan pertumbuhan berterusan industri minyak dan gas di Sabah.
Menurut beliau, di bawah kepimpinan Masidi, industri minyak dan gas negeri ini telah berkembang pesat, bukan sahaja dari segi peningkatan penyertaan syarikat Sabah, suara yang lebih kuat dalam industri, serta hasil yang lebih tinggi, malah melalui pembangunan agresif modal insan tempatan dalam ekosistem minyak dan gas.
Ng turut memaklumkan bahawa kontraktor Sabah mencatat peningkatan pendapatan yang ketara susulan pemeteraian Commercial Collaboration Agreement (CCA) pada 2021 antara Kerajaan Sabah dan PETRONAS, apabila pendapatan syarikat Sabah meningkat daripada RM613 juta pada 2021 kepada lebih RM2 bilion pada 2024.
Beliau menambah, komitmen Kerajaan Sabah untuk terus memperkukuh pembangunan keupayaan dan kapasiti tempatan dapat dilihat menerusi sasaran agar 60 peratus kontrak OGSE dianugerahkan kepada syarikat-syarikat Sabah.





























