Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Integrasi grid elektrik di Borneo memasuki fasa baharu dengan pengoperasian Interkoneksi Grid Kuasa Sarawak–Sabah, yang menghubungkan sistem grid kedua-dua negeri sekali gus memperkukuh kebolehpercayaan bekalan elektrik di rantau ini. Pembangunan ini menyumbang kepada keselamatan tenaga jangka panjang serta menyokong pertumbuhan sosioekonomi Sarawak dan Sabah.
Majlis perasmian pengoperasian interkoneksi tersebut telah diadakandi Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Berucap pada majlis itu, Premier Sarawak, Tan Sri (Dr) Abang Johari Tun Openg berkata, pengoperasian Interkoneksi Sarawak–Sabah mencerminkan usaha berterusan kami dalam membangunkan sistem tenaga yang boleh dipercayai dan selamat untuk rantau ini.
“Dengan menghubungkan kedua-dua grid, kita mewujudkan fleksibiliti operasi yang lebih kukuh serta menyokong pembangunan jangka panjang bagi kedua-dua negeri. Interkoneksi ini dibangunkan berasaskan pengalaman hubungan serantau terdahulu dan membuktikan bahawa perancangan yang diselaraskan mampu memberikan manfaat praktikal kepada Borneo.”
Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dalam ucapannya berkata, Sabah menyokong sepenuhnya inisiatif ini kerana ia memperkukuh kebolehpercayaan dan keselamatan bekalan elektrik, di samping meningkatkan fleksibiliti operasi antara Sabah dan Sarawak.
“Interkoneksi Sarawak–Sabah merupakan langkah strategik ke arah menjamin keselamatan tenaga jangka panjang, menyokong pembangunan mampan serta memberikan manfaat nyata kepada rakyat dan ekonomi Sabah.
“Kerjasama berterusan antara Sabah dan Sarawak amat penting bagi merealisasikan sepenuhnya potensi integrasi grid kuasa serantau demi kemakmuran jangka panjang Sabah dan rantau ini.”
Interkoneksi Sarawak–Sabah ini direalisasikan melalui talian penghantaran 275kV Lawas–Mengalong dan merupakan sebahagian daripada peluasan grid sepanjang 326 kilometer yang merangkumi 881 menara penghantaran serta infrastruktur berkaitan. Ia susulan pentauliahan talian penghantaran 275kV Bunut–Medamit–Lawas dan Pencawang Lawas pada November 2025, yang membolehkan integrasi wilayah utara Sarawak ke dalam grid negeri.
Pertukaran bekalan elektrik antara Sarawak dan Sabah bermula pada 13 Disember 2025 selepas penyelarasan sistem berjaya dilaksanakan oleh pengendali sistem grid kedua-dua negeri. Bekalan elektrik kini disalurkan dari Sarawak ke Sabah selaras dengan keperluan operasi dan parameter teknikal yang dipersetujui, sekali gus menyokong operasi terselaras di seluruh rangkaian bersama serta membuka potensi aliran kuasa dua hala pada masa hadapan.
Interkoneksi ini merupakan hubungan serantau kedua di Borneo selepas Interkoneksi Sarawak–Kalimantan Barat yang mula beroperasi pada 2016. Hubungan baharu ini mencerminkan komitmen Sarawak dan Sabah dalam membangunkan sistem kuasa yang lebih berdaya tahan dan saling berhubung.
Mengulas mengenai interkoneksi tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili berkata, Interkoneksi Sarawak–Sabah dibangunkan berasaskan rekod pencapaian Sarawak dalam pertukaran tenaga serantau, termasuk hubungan sedia ada dengan Kalimantan Barat, yang menjadi asas praktikal kepada pembangunan Grid Borneo yang berdaya tahan.
“Ketika Sarawak terus bekerjasama dengan rakan serantau di Sabah, Brunei dan Kalimantan, Indonesia, interkoneksi ini menggerakkan konsep Grid Borneo daripada visi kepada pelaksanaan, selain menyumbang kepada aspirasi Malaysia di bawah inisiatif Grid Kuasa ASEAN.”
Senada dengan kepentingan penyelarasan serantau, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir. Ts. Mohd. Yaakob Jaafar berkata, interkoneksi ini merupakan pencapaian strategik dalam memperkukuh kerjasama tenaga antara kedua-dua negeri.
“Melalui penyelarasan teknikal, operasi dan dasar yang lebih rapat, interkoneksi ini membolehkan perkongsian sumber penjanaan yang lebih cekap, meningkatkan kestabilan grid keseluruhan serta memperkukuh daya tahan sistem kuasa, khususnya ketika permintaan puncak atau gangguan bekalan.
“Usaha kolaboratif ini bukan sahaja memberikan manfaat operasi segera, malah meletakkan kedua-dua negeri pada kedudukan yang kukuh untuk menyokong pertumbuhan ekonomi, pembangunan industri dan integrasi tenaga serantau selaras dengan aspirasi nasional serta visi keterhubungan grid kuasa Borneo.”
Ketika ini, interkoneksi tersebut membekalkan sehingga 50 megawatt (MW) tenaga elektrik dari Sarawak ke Sabah, dengan kapasiti berpotensi untuk ditingkatkan tertakluk kepada kesediaan sistem dan perancangan masa hadapan. Pengaturan awal ini menyokong perancangan sistem berterusan ketika kedua-dua negeri terus memperkukuh rangkaian grid masing-masing.
Rangkaian yang lebih saling berhubung membolehkan kedua-dua negeri mengurus operasi sistem dengan lebih berkesan, khususnya semasa penyelenggaraan berjadual atau keadaan luar jangka sistem. Seiring dengan pengembangan infrastruktur tenaga di Borneo, interkoneksi ini menjadi langkah penting ke arah grid serantau yang lebih terselaras dan boleh dipercayai.
Interkoneksi ini juga menyediakan asas kepada keterhubungan serantau pada masa hadapan. Cadangan interkoneksi dengan Brunei, Singapura dan Semenanjung Malaysia kini berada pada pelbagai peringkat perancangan dan kajian kebolehlaksanaan, sekali gus menyumbang kepada usaha lebih luas untuk meningkatkan pertukaran tenaga serta menyokong pembangunan Grid Kuasa ASEAN.
Secara keseluruhan, inisiatif ini mengukuhkan landskap tenaga Borneo dan menyokong peralihan rantau ini ke arah masa depan yang lebih berhubung dan mampan.

































