Herbert (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan kepada salah seorang penduduk kampung.
TENOM: Beberapa kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap dilanda banjir susulan hujan berterusan di hulu Sungai Padas.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) yang juga ADUN Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, keadaan banjir semakin serius kelmarin dan beliau menasihati penduduk yang terjejas supaya sentiasa berhati-hati serta mematuhi arahan pihak berkuasa melalui Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Tenom.
“Penduduk yang tinggal di kawasan terjejas dinasihatkan untuk sentiasa memantau paras air dan akur dengan arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga. Keselamatan penduduk adalah keutamaan kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Para petugas dan semua yang terlibat siap sedia mengedarkan bantuan kepada keluarga yang terjejas akibat banjir.
Pada 4 Januari 2025, beberapa kampung yang terjejas telah menerima bantuan banjir bagi meringankan sedikit urusan seharian penduduk. Rombongan bantuan diketuai oleh Setiausaha Politik Jamawi, Herbert Roger London.
Antara kampung yang terjejas dengan banjir ialah Kampung Tumantalik, Kampung Pontomon, Kampung Pantogon Saga, Kampung Bulun, Kampung Binaie, Kampung Saga, Kampung Batu- Batu, Kampung Mandalom Lama dan Kampung Sri Menanti.
Jamawi berkata, bantuan akan diteruskan kepada semua penduduk yang terjejas di DUN Melalap yang masih belum menerima bantuan.
“Kami komited memastikan semua mangsa banjir mendapat bantuan secukupnya dan dapat meneruskan kehidupan dengan selamat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa pemantauan berterusan perlu dilakukan kerana hujan yang berterusan berpotensi meningkatkan paras air sungai, sekali gus menambah risiko banjir di kawasan rendah.





























