KOTA KINABALU, 15 Disember: Parti Bersatu Sabah (PBS) akan membuat penilaian menyeluruh terhadap prestasinya dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 pada Persidangan Perwakilan Tahunan PBS ke-40 yang akan berlangsung pada 17 dan 18 Disember ini di Dewan KDCA, Penampang.
Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, persidangan selama dua hari itu akan menghimpunkan perwakilan dari seluruh Sabah dan akan dirasmikan oleh Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Menurutnya, selain menilai prestasi pilihan raya, para perwakilan turut akan membincangkan dasar dan usul berkaitan usaha mempertahankan hak-hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), di samping merangka pendekatan bagi menangani isu-isu rakyat seperti pembangunan infrastruktur, kos sara hidup dan peluang ekonomi.
Pada pilihan raya negeri yang diadakan pada 29 September lalu, PBS telah diperuntukkan 15 kerusi dan berjaya memenangi tujuh kerusi, iaitu Kundasang, Matunggong, Kiulu, Tandek, Lumadan, Telupid dan Limbahau.

Joniston Bangkuai
Joniston berkata, persidangan kali ini menandakan genap 40 tahun perjuangan PBS dalam memperjuangkan kepentingan dan hak rakyat Sabah.
Beliau menambah persidangan tersebut akan menjadi platform penting untuk parti menilai perjalanan sejak penubuhannya, memahami cabaran politik dan sosioekonomi semasa, serta menetapkan hala tuju PBS bagi menghadapi masa depan.
Dr. Joachim juga akan merasmikan pembukaan bersama Persidangan Perwakilan Pemuda dan Wanita PBS pada 17 Disember, diikuti Persidangan Perwakilan Tahunan PBS pada 18 Disember yang dijangka dihadiri barisan kepimpinan parti, wakil akar umbi serta tetamu jemputan.
Joniston berkata, persidangan ini diadakan ketika PBS terus memainkan peranan penting dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), menyumbang kepada kestabilan politik dan pembangunan negeri.
“Seiring dengan sambutan 40 tahun penubuhannya dan melangkah ke dekad kelima, PBS akan terus mempertahankan kepentingan Sabah, memacu pembangunan inklusif serta memastikan suara rakyat terus diberi perhatian,” katanya.
































