Donald Mojuntin
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Datuk Donald Mojuntin, mencadangkan supaya satu pasukan khas dibentuk bagi memastikan tuntutan Geran Khas 40% dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Beliau menekankan bahawa cadangan ini penting kerana Kerajaan Persekutuan sedang berusaha bukan sekadar menangguh pembayaran, tetapi juga melindungi kegagalan perlembagaan sendiri selama lebih setengah abad.
“Kerajaan Persekutuan telah memfailkan rayuan untuk mencabar justifikasi penghakiman Mahkamah Tinggi bagi mengelakkan liabiliti ‘lost years’ dari 1974 hingga 2025, iaitu kegagalan Persekutuan melakukan semakan lima tahun seperti diwajibkan oleh Perkara 112D(3).
“Apabila Persekutuan memilih laluan litigasi, Sabah tidak boleh lagi bergantung kepada rundingan biasa. Ini bukan lagi soal goodwill, tetapi soal pertarungan perlembagaan fiskal dan teknikal. Adakah pasukan Sabah hari ini benar-benar setaraf dengan cabaran ini? Hakikatnya, Persekutuan tampil dengan peguam perlembagaan terulung, pakar fiskal, pakar hasil, dan jentera teknikal lengkap,” katanya.
Menurut Donald, pasukan Sabah masih belum dilengkapi dengan peguam perlembagaan kanan bertaraf negara dan aktuari profesional untuk mengira liabiliti ‘lost years’, selain akauntan bertauliah untuk mengaudit revenue derivation, serta pakar ekonomi fiskal dan juru analisis hasil untuk membina formula 40% yang defensible.
“Ini adalah kelemahan struktur yang mesti diperbetulkan segera. Sabah tidak boleh masuk gelanggang profesional dengan persediaan amatur,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan memperkukuh dan menaiktaraf pasukan sedia ada kepada satu Pasukan Khas Perlembagaan, Ekonomi, Aktuari dan Litigasi Sabah, yang dipengerusikan oleh Peguam Besar Negeri.
“Pasukan ini mesti siap-siaga menyokong proses rayuan dan respons perundangan, menyediakan pengiraan tunggakan 1974–2025 secara profesional, membina formula 40% yang kukuh dari sudut undang-undang dan ekonomi, menuntut full disclosure data hasil daripada Persekutuan, dan melapor secara berkala kepada Kabinet Sabah,” katanya ketika membahas Belanjawan Sabah 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Selain itu, Donald turut membicarakan isu berkenaan pelantikan wakil Sabah dalam barisan Lembaga Pengarah PETRONAS, selaras dengan kedudukan negeri itu sebagai rakan pengasas Persekutuan Malaysia, yang sehingga kini masih belum dilaksanakan.
“PETRONAS bukan syarikat biasa kerana ia merupakan pemegang amanah tunggal petroleum negara dan entiti yang mengurus sumber minyak dan gas di luar pesisir serta di wilayah Sabah. Ia juga merupakan instrumen fiskal paling berkuasa dalam Persekutuan Malaysia. Sabah adalah rakan pengasas Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan sumber petroleum di wilayah Sabah adalah aset strategik negeri dan negara,” katanya.
Namun, katanya, Sabah masih tidak diwakili dalam Lembaga Pengarah PETRONAS, walaupun hasil petroleum dari wilayah itu menyumbang berbilion ringgit kepada ekonomi negara. Keadaan ini menunjukkan ketidakseimbangan struktur kuasa yang nyata.
“Kerajaan Persekutuan telah bersetuju secara prinsip untuk melantik wakil Kerajaan Sabah ke dalam Lembaga Pengarah PETRONAS. Persetujuan ini telah dibincangkan dan dipersetujui dalam rangka rundingan MA63, dan ia telah diumumkan secara terbuka sebagai sebahagian daripada agenda pelaksanaan MA63.
“Namun persoalan besarnya ialah, jika persetujuan telah diberikan, mengapa pelantikan wakil Sabah masih belum berlaku sehingga hari ini?” soal beliau.
































