TAWAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menganjurkan Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) Kembali ke Sekolah 2026 bersempena musim cuti persekolahan bagi membantu meringankan beban perbelanjaan rakyat dalam membuat persediaan sesi persekolahan baharu.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan 2026, Kerajaan MADANI memperuntukkan sebanyak RM300 juta bagi pelaksanaan inisiatif Payung RAHMAH di bawah kefungsian KPDN, termasuk penganjuran PJRM di seluruh negara.
“Sehubungan itu, KPDN akan terus memperkasa pelaksanaan PJRM termasuk penambahbaikan dari aspek peluasan kaedah dan golongan sasar sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Armizan berkata, bersempena persediaan sesi persekolahan baharu 2026, KPDN akan memperluas pelaksanaan PJRM melalui penganjuran PJRM Kembali ke Sekolah 2026 yang dijadualkan bermula pada 20 Disember 2025 hingga 11 Januari 2026, iaitu sepanjang tempoh cuti persekolahan.
Beliau berkata, sebanyak 174 pasar raya, pusat beli-belah dan kedai pakaian terlibat melalui pelaksanaan secara dalam premis dan luar premis.
“Para pengguna boleh mendapatkan barangan kelengkapan persekolahan pada kadar diskaun antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran semasa,” katanya.
Tambah Armizan, antara 45 hingga 80 Unit Penyimpanan Stok (SKU) ditawarkan, merangkumi pakaian seragam sekolah, kasut sekolah, beg sekolah dan kelengkapan alat tulis.
Dalam tempoh penganjuran itu, katanya, sebanyak 269 siri PJRM Kembali ke Sekolah disasarkan untuk dilaksanakan di seluruh negara.
Orang ramai boleh merujuk Takwim PJRM melalui pautan https://www.kpdn.gov.my/ms/jualan-rahmah bagi mengetahui tarikh dan lokasi PJRM Kembali ke Sekolah yang akan dianjurkan.
































