Dr. Joachim menyaksikan pentauliahan Interkoneksi Sabah–Sarawak 275kV.
KOTA KINABALU: Pentauliahan Interkoneksi Sabah–Sarawak 275kV menandakan satu pencapaian strategik dalam memperkukuh keselamatan bekalan elektrik serta memacu masa depan tenaga Sabah.
Melalui sambungan talian penghantaran rentas sempadan ini, Sabah kini berupaya memanfaatkan campuran penjanaan yang lebih luas dan mantap daripada grid serantau, sekali gus meningkatkan kestabilan sistem, menambah margin rizab dan menyokong pertumbuhan permintaan jangka panjang.
Pentauliahan Interkoneksi Sabah–Sarawak 275kV baharu itu telah disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam di Pusat Kawalan Beban berhampiran sini hari ini.
Majlis pentauliahan yang mencatat sejarah bagi Sabah Electricity Sdn. Bhd. (Sabah Electricity) dan Sarawak Energy Berhad (SEB) itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir. Ts. Mohd. Yaakob Jaafar, serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Datuk Sharbini Suhaili.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Ridwan Limus; Pengerusi Sabah Electricity, Saadiah Aziz; serta Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Sabah, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid.
Penyelarasan talian penghantaran telah dilaksanakan di PMU Mengalong, Sipitang, manakala majlis penyaksian diadakan secara maya menerusi platform Microsoft Teams bagi membolehkan penyertaan lancar daripada Sabah Electricity dan SEB.
Sementara itu, Dr. Joachim berkata, interkoneksi tersebut turut mengukuhkan visi untuk mewujudkan sistem tenaga Borneo yang lebih berdaya tahan dan saling berhubung, dengan keupayaan perkongsian tenaga, fleksibiliti operasi yang lebih besar serta perlindungan lebih kukuh daripada gangguan bekalan.
Projek berkenaan meletakkan Sabah pada kedudukan yang lebih baik untuk mempercepatkan agenda peralihan tenaga, meningkatkan kebolehpercayaan bekalan kepada pengguna serta merangsang pembangunan ekonomi mampan di seluruh rantau ini, katanya dalam satu kenyataan media dikeluarkan hari ini.
Talian penghantaran itu berjaya melalui proses “soak” pada 10 Disember 2025 dan dijadualkan mula beroperasi secara komersial pada 13 Disember 2025, apabila aliran tenaga akan disambungkan ke Grid Sabah. Ia membolehkan tambahan kuasa antara 30MW hingga 50MW disuntik, sekali gus meningkatkan kestabilan grid, menyokong pertumbuhan permintaan dan mengukuhkan daya tahan operasi.
Ini menandakan fasa baharu dalam peralihan tenaga Sabah serta memacu inisiatif yang memberikan perkhidmatan lebih baik dan pengalaman yang dipertingkatkan kepada rakyat Sabah.
Di peringkat serantau, interkoneksi ini turut meletakkan asas kepada pembangunan Grid Tenaga ASEAN pada masa hadapan.
































