KETIKA GRS mengambil alih pentadbiran Sabah pada 2020, negeri ini berada pada ambang kemerosotan ekonomi yang serius akibat keputusan dasar tidak konsisten dan pentadbiran yang lemah di era Warisan.
Banyak indikator menunjukkan kemunduran jelas. Saiz ekonomi Sabah merosot daripada RM85.6 bilion (2019) kepada RM77.8 bilion (2020) — kejatuhan hampir RM8 bilion atau -9.1%, menjadikan tempoh 2018-2020 sebagai salah satu era paling buruk dalam sejarah moden ekonomi Sabah.
Pelaburan masuk ke Sabah antara 2018-2020 turut merosot hampir 40%, manakala rizab kewangan negeri susut kepada hanya RM3.2 bilion pada 2019, menyebabkan beberapa program pembangunan terhenti sepenuhnya. Hasil negeri juga tidak stabil, dengan kutipan Warisan hanya sekitar RM4.2 bilion pada 2019, gagal mencapai sasaran tahunan dan mendedahkan Sabah kepada risiko defisit. Beberapa projek strategik bernilai ratusan juta ringgit terbengkalai, manakala keyakinan pelabur luar merosot dengan ketara.
GRS terpaksa memulakan pentadbiran dalam keadaan ekonomi yang mewarisi ‘lubang’ besar. Namun dalam tempoh empat tahun, kerajaan baharu ini bukan sahaja memulihkan keadaan, tetapi membawa Sabah jauh lebih kukuh berbanding sebelumnya.
Melalui reformasi fiskal dan penyusunan semula aliran pendapatan, Sabah di bawah GRS berjaya mencatat peningkatan hasil melebihi 30% antara 2021-2024, dengan rekod kutipan hampir RM7 bilion pada 2022 dan RM7.6 bilion pada 2023, salah satu yang tertinggi di Malaysia.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2023, Sabah menunjukkan kedudukan kewangan yang kukuh dengan Consolidated Fund berjumlah RM6.756 bilion pada 31 Disember 2023, manakala aset negeri mencecah RM9.1 bilion dan pelaburan negeri dinilai pada RM7.9 bilion.
Rizab kewangan negeri di bawah GRS melonjak kepada RM8.6 bilion pada 2024, peningkatan lebih 160% berbanding era Warisan. Ini bukti jelas tadbir urus fiskal yang lebih cekap, telus dan mampan.
Sektor pelaburan turut melonjak semula. Dasar yang stabil di bawah GRS menarik lebih RM10 bilion pelaburan langsung dalam minyak dan gas, hiliran, tenaga baharu, pembuatan serta pelancongan.
Pemulihan keyakinan pelabur ini bertentangan dengan era Warisan, ketika pertumbuhan ekonomi sudah menjunam sebelum pandemik — daripada 8.1% (2017) kepada 1.5% (2018) dan hanya 0.7% (2019).
Selepas GRS mengambil alih, pertumbuhan ekonomi kembali positif: 1.5% (2021), 3.9% (2022), 1.3% (2023) dan 1.1% (2024). Saiz ekonomi turut meningkat semula kepada RM84.3 bilion pada 2024, menandakan pemulihan konsisten, bukannya merosot seperti dakwaan pembangkang.
Lebih penting, ekonomi Sabah kekal tumbuh walaupun dalam fasa penyusunan semula struktur ekonomi lebih berdaya tahan melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Dalam tempoh GRS memerintah, projek infrastruktur kritikal yang pernah tergendala disambung semula, termasuk jalan raya utama, rangkaian air luar bandar dan pembinaan kemudahan awam.
Melalui agenda SMJ, GRS melaksanakan pelan pembangunan terancang, bukan bersifat ad hoc seperti sebelumnya. Fokus kepada pertanian, perindustrian dan pelancongan meningkatkan peluang ekonomi rakyat, sementara pembangunan luar bandar memperlihatkan hasil nyata.
Kestabilan politik yang dibina GRS turut menjadi faktor utama pemulihan ekonomi. Tidak seperti era Warisan yang sering digugat perebutan kuasa dalaman, GRS berjaya mengekalkan pentadbiran stabil, membolehkan kerajaan memberi tumpuan penuh kepada pembangunan dan pelaburan.
Rakyat Sabah kini dapat menyaksikan sendiri perubahan arah yang jelas: daripada ekonomi merudum kepada pertumbuhan stabil, daripada ketidaktentuan dasar kepada pentadbiran teratur, daripada projek terbengkalai kepada pembangunan berterusan.
Dengan rekod pencapaian ini, GRS terbukti menyelamatkan Sabah daripada krisis ekonomi yang diwarisi dan meletakkan negeri di landasan lebih kukuh untuk masa depan.
GRS bukan sekadar janji — GRS adalah pilihan rakyat Sabah untuk kestabilan, kemajuan dan pembangunan sebenar.

































