Jamawi (kanan) mengalungkn pingat kepada para pemenang.
TAWAU : Pasukan Tenom meraih pingat emas pertama dalam temasya Sukan Sabah (SAGA) XI 2025 melalui acara sepak takraw kategori regu wanita.
Tenom menewaskan tuan rumah, Tawau dengan pungutan mata 15-8, 15-9, 30-17 yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, manakala pingat gangsa dikongsi bersama pasukan Beluran dan Kota Belud.
Bagi kategori regu lelaki, Papar mengungguli perlawanan akhir selepas menumpaskan Tongod dengan keputusan 15-9, 8-15, 15-12 untuk meraih pingat emas sementara Kota Belud dan Tawau berkongsi tempat ketiga bagi kategori itu.
Kemenangan itu merupakan pingat emas keempat acara Sepak Takraw buat pasukan Papar selepas turut menjuarai kategori double wanita, double lelaki dan berpasukan lelaki.
Presiden Sepak Takraw Tenom, Datuk Jamawi Jaafar merakamkan ucapan tahniah kepada semua pasukan yang menyertai acara berkenaan serta menzahirkan kegembiraan terhadap peningkatan kualiti permainan dan bakat baharu yang ditonjolkan.
“Dengan adanya latihan di peringkat akar umbi, kita mampu mencungkil bakat-bakat baharu dan seterusnya memperkukuh kedudukan Sabah dalam sukan seperti SUKMA,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian pingat di Dewan Vission School, pada Rabu.
Jamawi turut mengucapkan tahniah kepada daerah Papar dan Tenom yang masing-masing berjaya meraih pingat emas dalam acara regu lelaki dan wanita.
































