KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak hari ini mencatat sejarah apabila memutuskan bahawa Sabah berhak menerima 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh daripada negeri ini — satu kemenangan besar yang disifatkan sebagai detik bersejarah bagi rakyat Sabah.
Mahkamah menegaskan bahawa Geran Khas 40 peratus yang diperuntukkan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan bukan satu keistimewaan yang boleh dirunding, tetapi hak perlembagaan yang telah dijamin sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963.
“Kemenangan ini milik setiap rakyat Sabah yang tidak pernah berhenti mempercayai bahawa keadilan akhirnya akan tiba,” kata bekas Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah (Sabah Law Society, SLS), Datuk Roger Chin dalam satu kenyataan selepas keputusan itu diumumkan.
Chin menyifatkan keputusan itu sebagai “titik perubahan” yang memulihkan apa yang digelar beliau sebagai “tahun-tahun yang hilang” apabila hak Sabah dinafikan selama hampir setengah abad.
“Selama lima puluh tahun, janji-janji yang dibuat ketika kelahiran Malaysia dilupakan. Hari ini, Mahkamah telah mengembalikan janji-janji itu dan menegakkan semula kedaulatan undang-undang,” katanya.
Mahkamah turut memperjelaskan bahawa Perintah 1969 yang mengubah formula asal tidak pernah memansuhkan atau mengubah hak 40 peratus itu. Sebaliknya, mekanisme perlembagaan yang menjamin bahagian Sabah sentiasa kekal utuh.
Menurut Chin, keputusan itu juga mengiktiraf peranan penting Kerajaan Negeri Sabah yang secara konsisten memperjuangkan dan memperkukuh hak perlembagaan negeri, termasuk melalui usaha menjelaskan rekod sejarah mengenai perkongsian hasil Persekutuan antara 1964 hingga 1968.
“Penerimaan bayaran interim oleh Kerajaan Negeri adalah tanpa prejudis terhadap hak perlembagaan Sabah,” jelasnya.
Dalam keputusan itu, sebahagian daripada Perintah Kajian Semula 2022 serta perintah pengganti (Kajian Semula 3 dan 4) telah dibatalkan — bukan keseluruhannya — selepas didapati cacat dari segi undang-undang kerana mengabaikan tahun-tahun yang tertinggal antara 1974 hingga 2021.
Namun begitu, keputusan itu tidak menjejaskan Geran Khas 40 peratus yang sepatutnya dibayar kepada Sabah mulai tahun 2022 dan seterusnya.
Keputusan Mahkamah kini mewajibkan Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan rundingan dengan Kerajaan Negeri Sabah dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan dalam masa 180 hari, menggunakan formula 40 peratus seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.
Tunggakan hasil bagi tempoh 1974 hingga 2021 turut diiktiraf sebagai hutang berterusan yang mesti dibayar — sama ada melalui bayaran terus atau pampasan perlembagaan. Sehingga bayaran itu dilaksanakan, sebarang kebergantungan terhadap Perintah Kajian Semula 2022 dan perintah berikutnya digantung.
Chin menegaskan bahawa keputusan itu telah memulihkan semula “laluan perlembagaan” dan menyeru Kerajaan Persekutuan menghormati proses kehakiman serta mematuhi keputusan Mahkamah.
“Walaupun hak untuk merayu masih ada, berbuat demikian akan menjejaskan keikhlasan, terutamanya apabila kerajaan-kerajaan terdahulu dan sekarang telah berikrar untuk menunaikan MA63 tetapi gagal menyelesaikan isu 40 peratus ini,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa SLS akan “menentang sebarang percubaan untuk merayu atau melemahkan keputusan tersebut.”
Menyifatkan keputusan itu sebagai “kemenangan untuk Persekutuan, bukan menentangnya”, Chin berkata, ia membuktikan Malaysia menghormati janji asal pembentukannya dan bahawa “perpaduan sejati dibina atas dasar penghormatan, bukan pengabaian.”
“Hari ini, suara Sabah telah didengari. Hari ini, keadilan telah ditegakkan. Dan hari ini, sejarah mencatat bahawa janji yang dibuat pada 1963 kini ditepati pada 2025,” katanya.
Chin menegaskan bahawa keputusan itu menamatkan “tahun-tahun yang hilang” bagi Sabah, memulihkan keadilan, dan menebus semula janji asal pembentukan Malaysia.
“Menunaikan keputusan ini bukan semata-mata tentang Sabah — ia tentang mengukuhkan Malaysia itu sendiri,” katanya.
































