Abqaree Fawwaz Abekan
KOTA KINABALU: Penubuhan Pemikir Muda Ketua Menteri disifatkan sebagai ‘laluan pintas’ untuk golongan belia Sabah terlibat secara langsung dalam proses penggubalan dasar dan polisi pembangunan Kerajaan Negeri.
Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan berkata, platform yang bakal dipelopori oleh golongan intelektual muda itu akan berperanan sebagai pengkaji dan penasihat kepada Ketua Menteri dalam merangka dasar serta polisi pembangunan belia Sabah.
“Jurang komunikasi dan kekurangan saluran rasmi untuk belia dalam pembentukan dasar sebelum ini menyebabkan dasar sedia ada dilihat kurang relevan dengan keperluan generasi baharu.
“Anak muda sering merasakan pandangan mereka hanya didengar di forum, tetapi jarang diangkat secara terus untuk membentuk dasar dan perancangan negeri. Akibatnya, dasar sedia ada berisiko menjadi kurang relevan dengan keperluan sebenar generasi baharu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Abqaree, penubuhan Pemikir Muda Ketua Menteri akan menyediakan saluran terus kepada kepimpinan tertinggi negeri — bukan sekadar ruang untuk bersuara, tetapi sebagai mekanisme rasmi bagi setiap kritikan, cadangan dan idea inovatif anak muda diperhalusi dan diterjemahkan kepada dasar yang nyata.
“Ia memberikan rasa pemilikan kepada belia terhadap hala tuju negeri di bawah kerangka Sabah Maju Jaya (SMJ),” tambahnya.
Mengulas mengenai penubuhan Majlis Tindakan Belia Sabah (MTBS) yang turut diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor pada Sabtu lalu, Abqaree berkata, badan itu akan memainkan peranan penting dalam menangani isu pertindihan program, kekurangan koordinasi serta ketidakberkesanan pelaksanaan program pembangunan belia sebelum ini.
“Sebelum ini, walaupun terdapat banyak usaha daripada pelbagai agensi dan NGO belia, pelaksanaan program sering kali bersifat ad hoc dan kurang bersepadu.
“Ini menyebabkan sumber terpecah dan gagal mencapai kelompok belia secara inklusif, terutama dalam menangani isu kebolehpasaran pekerjaan dan kemahiran,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa MTBS akan berfungsi sebagai badan pelaksana dan penyelaras yang inklusif bagi menyatukan semua inisiatif pembangunan belia di bawah satu gerak kerja berorientasikan impak.
“Dengan adanya MTBS, kita dapat memastikan setiap program latihan kemahiran, keusahawanan dan kesejahteraan belia diagihkan serta dilaksanakan secara strategik — dari bandar hinggalah ke kawasan pedalaman,” ujar Abqaree.
Pada Sabtu lepas, Hajiji mengumumkan dua inisiatif baharu — Pemikir Muda Ketua Menteri dan Majlis Tindakan Belia Sabah (MTBS) — sebagai usaha menambah baik dan meningkatkan inklusiviti dalam pelaksanaan program pembangunan belia di negeri ini.
































