KINARUT: Dalam semangat kasih dan keprihatinan terhadap golongan warga emas, Persatuan Persahabatan Artis KDMR Sabah (PPAKS) mengadakan program lawatan mesra ke Rumah Wargatua Sri Pritchard di sini, baru-baru ini.
Program berkenaan merupakan antara aktiviti kebajikan utama PPAKS bagi memperkukuh hubungan silaturahim antara artis tempatan dan masyarakat, khususnya dalam kalangan warga emas.
Rombongan PPAKS diketuai Pengerusinya, Clarice Vitini Lajibin dan disambut mesra oleh Penguasa Rumah Wargatua Sri Pritchard, Jahidi Sahibin yang turut berkongsi sejarah serta perjalanan rumah kebajikan itu.
Menurut Jahidi, rumah berkenaan bukan sekadar tempat perlindungan, tetapi juga menjadi pusat kasih sayang dan penjagaan buat warga emas yang memerlukan perhatian.
Sebagai tanda keprihatinan, PPAKS menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian seperti lampin pakai buang, tisu, pakaian terpakai dan buah-buahan bagi meringankan beban serta membawa kegembiraan kepada penghuni rumah tersebut.
Dalam ucapan ringkasnya, Clarice menzahirkan rasa syukur kerana dapat bersama ahli persatuan menjayakan program yang disifatkannya sebagai “misi kasih sesama insan.”
“Sebagai artis, kami bukan sekadar menghiburkan masyarakat, tetapi turut mempunyai tanggungjawab sosial. Lawatan seperti ini menyedarkan kita tentang nilai kemanusiaan dan pentingnya menghargai warga emas yang telah banyak berjasa kepada generasi kita hari ini,” katanya.
Suasana penuh mesra dan ceria turut menyelubungi sesi ramah mesra apabila beberapa ahli PPAKS mempersembahkan nyanyian spontan yang disambut dengan tepukan dan senyuman para penghuni, mewujudkan suasana kekeluargaan yang hangat.
Lawatan tersebut diakhiri dengan sesi bergambar kenangan sebagai simbol kasih sayang dan solidariti antara dunia seni dengan masyarakat.
Program berkenaan membuktikan bahawa PPAKS bukan sekadar platform hiburan, tetapi juga sebuah persatuan yang aktif menyalurkan kasih dan kepedulian kepada golongan memerlukan.
































