KOTA KINABALU: Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu menafikan dakwaan kononnya Kedutaan Besar China di Malaysia telah mengeluarkan “amaran keras” kepada Kerajaan Sabah berhubung isu bekalan air.
Dalam satu kenyataan di laman Facebooknya hari ini, Konsulat Jeneral China menegaskan bahawa dakwaan yang tular di media sosial itu adalah maklumat palsu (disinformation).
“Kedutaan Besar China di Malaysia dan Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu tidak pernah mengeluarkan sebarang ‘amaran’ atau ‘ancaman’ kepada Kerajaan Negeri Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) atau mana-mana pihak berkuasa tempatan berhubung isu bekalan air.
“Kami juga tidak pernah menyebut sebarang ‘nasihat perjalanan (travel advisory)’ seperti yang didakwa,” katanya.
Konsulat Jeneral itu menegaskan, pihaknya akan terus mengamalkan semangat persahabatan serta kerjasama saling menguntungkan antara China dan Malaysia, termasuk memperkukuh hubungan praktikal antara China dan Sabah dalam bidang pelancongan, perdagangan serta kebudayaan.
“Kami akan terus memudahkan pertukaran rakyat serta kerjasama peringkat tempatan antara kedua-dua negara,” tambah kenyataan itu.
Dalam masa yang sama, Konsulat Jeneral China menyeru media tempatan agar melaporkan berdasarkan fakta serta memainkan peranan positif dalam memperkukuh hubungan persahabatan dua hala, selain mengelakkan penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh mengelirukan orang ramai.
































