Haji Hajiji Haji Noor
TAWAU: Kerajaan Negeri terus memperkukuh komitmen dalam memajukan bidang sukan di Sabah, selaras dengan usaha melahirkan lebih ramai atlet berpotensi yang mampu mengharumkan nama negeri dan negara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, komitmen itu dizahirkan melalui pembinaan serta penyediaan pelbagai prasarana sukan menerusi Kementerian Belia dan Sukan Sabah, selain pemberian insentif kepada atlet yang berjaya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Menjadi harapan kita untuk melihat lebih ramai atlet Sabah menyerlah di pentas kebangsaan dan antarabangsa. Malah, kerajaan sentiasa mengiktiraf pencapaian mereka dengan menyalurkan peruntukan besar setiap tahun bagi tujuan insentif kejayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Temasya Sukan Sabah (SAGA) XI Tawau di Stadium Tawau hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin.
Menurut Hajiji, penganjuran SAGA merupakan usaha berterusan kerajaan bagi memastikan Sabah tidak ketandusan bakat baharu, di samping menjadi platform mencungkil atlet pelapis untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Kementerian Belia dan Sukan Negeri perlu terus giat mencungkil bakat muda melalui pelbagai program serta pertandingan di seluruh negeri. Kita mahu sukan menjadi sebahagian daripada budaya hidup masyarakat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan para atlet agar menjadikan SAGA bukan sekadar medan memburu kemenangan, tetapi juga wadah memperlihatkan semangat juang, disiplin dan keperibadian tinggi.
“Setiap titik peluh yang tumpah di gelanggang adalah batu asas kepada kejayaan Sabah pada masa hadapan. Binalah nama baik daerah dan negeri kita,” katanya.
Hajiji turut menyatakan harapan agar SAGA terus berkembang sebagai karnival sukan berprestij yang bukan sahaja menarik penyertaan menyeluruh daripada masyarakat, tetapi turut menyemai budaya sukan yang lebih meluas di Sabah.
“Program sebegini bukan sahaja menyumbang kepada rakyat yang sihat dan cergas, tetapi juga memperkukuh usaha melahirkan lebih ramai atlet muda dan cemerlang,” jelasnya.
Katanya, Sabah telah membuktikan keupayaannya melahirkan atlet berkualiti menerusi kejayaan beberapa bintang sukan negeri di pentas kebangsaan dan antarabangsa seperti Farrel Glen Felix Jerus (lompat tinggi), Merrywati Manuil (silat), Evan Rich Chong (memanah) dan Jonathan John (tinju).
“Mereka adalah bukti bahawa anak-anak Sabah mampu menjadi kebanggaan negeri dan negara,” tambahnya.
Hajiji turut menyeru semua peserta SAGA XI agar bertanding dengan penuh disiplin serta menjunjung semangat kesukanan yang tinggi, selain menjadikan temasya itu sebagai platform mempertingkat prestasi masing-masing.
“Semoga SAGA Tawau 2025 meninggalkan kenangan manis, menyemai semangat juang dan melahirkan generasi atlet Sabah yang terbilang di persada negeri, negara bahkan dunia,” katanya.
































