KOTA BELUD: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi agensinya TEKUN Nasional menyalurkan sejumlah RM816 juta pembiayaan kepada lebih 30,000 usahawan dari Jan hingga September tahun ini, di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, daripada jumlah itu, RM95 juta telah disalurkan kepada 4,150 usahawan di Sabah, manakala bagi daerah Kota Belud sahaja, sebanyak RM9.1 juta pembiayaan telah disalurkan kepada 287 usahawan dalam tempoh yang sama tahun ini.
“Saya bangga kerana Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT), yang saya perkenalkan pada tahun 2023 khusus untuk usahawan tamu di Sabah dan Sarawak, mencatatkan prestasi amat memberangsangkan.
“Skim ini mencatatkan kadar bayaran balik pinjaman yang sangat cemerlang dengan kadar non-performing loan (NPL) hanya 0.5 peratus. Ini menunjukkan kebertanggungjawaban usahawan kita dalam mengurus pembiayaan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penutupan Taklimat Pembiayaan Keusahawanan oleh TEKUN Nasional dan agensi-agensi KUSKOP bagi kawasan Taginambur di Dewan Gopog, di sini, hari ini.
Ewon berkata, KUSKOP melalui TEKUN Nasional akan terus memperkukuh sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara, khususnya di Sabah dan teristimewa di Kadamaian dan Penampang.
“Saya telah mengemukakan kepada Kementerian Kewangan keperluan dan cadangan supaya program-program khusus untuk masyarakat dan usahawan di Sabah dan Sarawak dapat diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya.
Terdahulu itu, ketika berucap, Ewon berkata sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta industri mikro memainkan peranan penting sebagai tunjang kepada pembangunan ekonomi negara.
“Usahawan bukan sahaja menjana pendapatan untuk diri dan keluarga, tetapi turut membuka peluang pekerjaan serta menggerakkan ekonomi komuniti setempat.
“Cabaran utama usahawan luar bandar seperti di Taginambur adalah akses kepada modal pembiayaan serta latihan keusahawanan yang komprehensif, dan peranan TEKUN Nasional amat penting dalam mengatasi jurang itu.
“Oleh itu, program seumpama ini menjadi platform terbaik untuk penduduk memahami secara mendalam mengenai pelbagai skim pembiayaan yang ditawarkan, termasuk Skim Pembiayaan Informal & Mikro (SPIM) dan SPUT,” katanya.
Turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai EKsekutif TEKUN Nasional Dato’ Adam Abdul Ghani dan pegawai-pegawai kanan TEKUN Nasional.
Sementara itu, dalam program berasingan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan tujuh koperasi dari Wilayah Persekutuan menghulurkan sumbangan berjumlah RM152,100 kepada mangsa banjir di kawasan Kadamaian dan Penampang menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Koperasi.
Penyerahan bantuan disempurnakan oleh Ewon di Dewan Tamu Desa Kg. Sumbilingon, di sini.
Bantuan yang disalurkan merangkumi bakul makanan, pakaian sekolah serta pelbagai peralatan termasuk gasoline water pump, water jet, kanvas, tangki air dan sampan.
“Sebahagian daripada sumbangan telah diagihkan lebih awal kepada mangsa banjir di Penampang.
“Antara koperasi yang terlibat dalam Program CSR ialah Koperasi Ladang Berhad, Koperasi Kakitangan Petronas Berhad, Koperasi Generasi Felda Baru Berhad, Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad, Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Malaysia Berhad, Koperasi Tenaga Nasional Berhad dan Koperasi Kakitangan Felda Malaysia Berhad,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis itu.
Ewon merakamkan penghargaan kepada SKM dan gerakan koperasi atas keprihatinan mereka membantu masyarakat setiap kali berlakunya bencana.
“Saya berbangga melihat penglibatan SKM dan gerakan koperasi yang sentiasa terkehadapan membantu rakyat negara ini ketika berdepan bencana seperti banjir dan tanah runtuh.
“Bagi pihak mangsa banjir dan tanah runtuh di Sabah, saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas keprihatinan dan sumbangan yang diberikan,” katanya.
Katanya lagi, program CSR koperasi bukan sahaja dilaksanakan di Sabah, malah di seluruh negara apabila berlaku insiden atau musibah bencana.
“Bantuan CSR koperasi ini mencerminkan identiti gerakan koperasi yang bukan sahaja membantu ahli, tetapi juga masyarakat setempat.
“Saya berharap komitmen dan keprihatinan ini dapat dicontohi oleh koperasi lain serta syarikat-syarikat lain untuk turut sama melaksanakan kebaikan kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.
Program ini dilaksanakan sebagai inisiatif bersama SKM dan koperasi bagi meringankan beban penduduk yang terjejas serta membantu koperasi yang turut mengalami kerugian akibat kerosakan infrastruktur dan kehilangan aset penting akibat bencana banjir tahun ini.
Turut hadir Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal, pegawai kanan SKM dan pengerusi-pengerusi koperasi.
































