Dua buah lukisan yang hilang dipercayai dicuri di Galeri Sejarah Johor, Pusat Informasi Pelancongan (TIC) Kota Tinggi, Johor.
KOTA TINGGI: Dua buah lukisan bernilai RM1,000 di Galeri Sejarah Johor, Pusat Informasi Pelancongan (TIC) Kota Tinggi di sini, dilaporkan hilang dipercayai dicuri.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun yang juga seorang peniaga Selasa lalu.
“Pengadu membuat laporan pada pukul 5 petang menyatakan mengenai kecurian dua lukisan perhiasan di TIC, Kota Tinggi.
“Dua lukisan itu memaparkan gambar Air Terjun Kota Tinggi dan gambar bunga. Saiz lukisan dianggarkan berukuran 42 sentimeter (cm) x 60 cm dengan harga kira-kira RM1,000,” katanya di sini.
Katanya, tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi sudah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Jelasnya polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya tampil menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat, Sarjan Mohd. Saiful Said di 018-7637969 atau di mana-mana balai polis berdekatan.
Terdahulu, Pengurus TIC Kota Tinggi, Nur Farhana Zakaria menerusi hantaran Facebooknya memaklumkan mengenai insiden kecurian itu.
Beliau meminta orang ramai, jika terlihat mana-mana individu yang menjual lukisan seperti gambar yang dilampirkan supaya memaklumkan kepada pihaknya.
































