Masidi mewakili Ketua Menteri di majlis itu.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yakin projek Jesselton Docklands bernilai RM4.2 bilion di tepi laut bandar raya ini bakal menjadi pemacu perubahan sebenar kepada ekonomi Sabah.
Beliau berkata, pembangunan di atas tanah prima seluas 35 ekar yang dahulunya dikenali sebagai Pelabuhan Kota Kinabalu lama itu akan menjadi pemangkin kepada penciptaan pekerjaan, menarik pelaburan, merangsang pelancongan serta menjana limpahan ekonomi positif merentasi pelbagai sektor, termasuk pembinaan, runcit, makanan dan minuman serta perkhidmatan tempatan.
“Ia akan mengubah landskap tepi laut bandar ini menjadi sebuah kawasan moden, ceria dan mampan. Majlis pecah tanah Jesselton Docklands menandakan satu lagi pencapaian penting dalam transformasi berterusan kawasan bersejarah Kota Kinabalu,” katanya pada majlis pecah tanah projek berkenaan di Jesselton Docklands Live Lab, di sini, hari ini.Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Suria Capital Holdings Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Sabah Ports Sdn. Bhd., atas komitmen teguh dan pandangan strategik dalam membangunkan semula tapak pelabuhan ikonik itu.
“Sejak operasi kontena dipindahkan ke Teluk Sapangar pada 2007, Suria terus berusaha memanfaatkan peluang besar yang ditawarkan kawasan tepi laut ini. Syarikat ini memainkan peranan penting dalam membentuk semula identiti ibu negeri kita.
“Apa yang dahulunya sebuah pelabuhan kini berkembang menjadi pusat perdagangan, pelancongan, budaya dan gaya hidup. Syabas!” katanya.
Menurutnya, transformasi itu turut melibatkan pemindahan terminal penumpang utama ke terminal sementara South Jetty, sekali gus membuka laluan kepada pembinaan terminal feri bertaraf antarabangsa yang moden dan serba canggih.
“Kemudahan baharu ini akan meningkatkan keselesaan, keselamatan dan kecekapan pengembara, selain melengkapi Terminal Persiaran Antarabangsa yang dirancang di bawah pelan induk Jesselton Docklands,” jelasnya.
Hajiji menegaskan, peningkatan infrastruktur itu akan memperkukuh kedudukan Kota Kinabalu di peta dunia sebagai pintu masuk utama pelancongan persiaran dan feri, sekali gus mengukuhkan reputasi Sabah sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Projek Jesselton Docklands yang dibangunkan bersama BEDI Development itu akan menampilkan pelbagai kemudahan termasuk terminal persiaran antarabangsa khusus, hotel, kediaman, presint budaya serta zon komersial.
Pembangunan tepi laut ikonik itu bakal lebih rancak dengan pelaksanaan fasa kedua usaha sama Suria bersama SBC Corporation Berhad melalui pembangunan Jesselton Quay.
Secara keseluruhan, inisiatif ini akan merealisasikan pembinaan sebuah bandar tepi laut moden yang turut dilengkapi aset utama seperti Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Pusat Konvensyen Kota Kinabalu dan Terminal Persiaran Antarabangsa pada masa hadapan.
Hajiji berkata, kerjasama antara syarikat berkaitan kerajaan seperti Suria dengan sektor swasta mencerminkan inti pati sebenar perkongsian awam-swasta, di mana aset negeri dan modal swasta bergabung untuk memacu pertumbuhan yang mampan serta berimpak tinggi.
“Pada masa sama, projek ini turut selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, khususnya teras strategik pertumbuhan ekonomi, kemampanan dan keterangkuman sosial,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji BEDI Development dan Suria atas sumbangan masing-masing sebanyak RM100,000 bagi membantu usaha bantuan pasca banjir dan bencana alam baru-baru ini.































