PETALING JAYA: Tindakan seorang lelaki menyembunyikan binatang Ungka dan Cuscus di dalam bagasi untuk dibawa keluar ke India gagal apabila ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Menurut Utusan Malaysia, lelaki berusia 46 tahun terbabit ditahan pada pukul 8.10 malam di Terminal 1.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berkata, satu cubaan menyeludup hidupan liar berjaya digagalkan hasil kerjasama erat AKPS, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bersama Polis Bantuan KLIA di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Katanya, lelaki warganegara Malaysia yang cuba membawa keluar hidupan liar menggunakan penerbangan Malaysia MH0194 ke Mumbai.
“Hasil pemeriksaan ke atas bagasi suspek menemukan seekor Ungka dan dua ekor disyaki Cuscus yang dianggarkan mencecah RM20,000.
“Suspek berusia 46 tahun ditahan dan dibawa ke Balai Polis Aeropolis untuk siasatan lanjut mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta) serta Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata kenyataan itu, semua barang kes diserahkan ke Pejabat Perhilitan KLIA untuk tindakan lanjut.
“Kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam membanteras aktiviti penyeludupan hidupan liar serta memastikan pintu masuk utama negara tidak dijadikan laluan jenayah rentas sempadan,” ujarnya.