PETALING JAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan sahaja tertumpu kepada sindiket penyeludupan tayar, malah turut mengesan aset mewah yang dipercayai diperoleh oleh pegawai kastam dan syarikat pengimport melalui aktiviti pengubahan wang haram.
Menurut Utusan Malaysia, satu sumber berkata, syarikat-syarikat yang difokuskan mempunyai aktiviti perniagaan mengimport tayar, termasuk enam buah gudang dan kontena penyimpanan tayar.
Katanya, kesemua lokasi ini melibatkan kawasan di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.
“Sebanyak enam gudang dan kontena disita dengan anggaran rampasan sebanyak 17,672 biji tayar bagi tujuan pemeriksaan ketulenan oleh pemilik jenama antarabangsa seperti Michelin dan Goodyear dan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM 2009) dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001),” katanya di sini semalam.
Kelmarin, SPRM menggempur syarikat disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan tayar dan pemalsuan dokumen import serta eksport sehingga mengakibatkan kerajaan kerugian hasil cukai dianggarkan RM350 juta sejak 2020 hingga tahun ini.
Operasi bersepadu Op Grip itu dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di 23 lokasi sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.
Serbuan membabitkan syarikat pengimport tayar, gudang serta kontena penyimpanan tayar.
Hasil serbuan, SPRM telah membekukan akaun peribadi dan syarikat berjumlah kira-kira RM70 juta.
Isu tayar terpakai yang tidak menepati piawaian diumpamakan seperti ‘bom jangka’ kerana mengancam keselamatan pengguna jalan raya dan boleh mengakibatkan kemalangan, sekali gus memerlukan tindakan tegas pihak berkuasa.
Sementara itu, Pengarah Kanan BOK SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan serbuan berkenaan.
“SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan melalui rasuah, pengubahan wang haram dan penyeludupan yang merugikan negara,” katanya.

































