Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu segala isu berbangkit mengenai program Budi Madani RON95 (BUDI95) diselesaikan segera.
Menurut Utusan Malaysia, ia termasuk agihan kuota khas BUDI95 bagi pemandu e-hailing, P-hailing, pemandu teksi, pengusaha bot nelayan di Sabah dan Sarawak serta pemegang lesen memandu Singapura.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri isu itu diselesaikan bagi membolehkan kumpulan itu turut menerima manfaat BUDI95.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, bagi rakyat Malaysia yang memiliki lesen memandu Singapura, kerajaan sedang membangunkan mekanisme khas supaya mereka juga boleh menikmati subsidi itu.
“Pada mesyuarat sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mahu supaya kuota khas BUDI95 diberikan juga kepada pemandu teksi selain pemandu e-hailing dan P-hailing.
“Saya dimaklumkan, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah akan mengeluarkan kenyataan berkenaan status terkini program BUDI95 petang ini,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.
Katanya, sehingga kini, pelaksanaan program BUDI95 berjalan dengan lancar.
Fahmi berkata, Kabinet turut dikongsikan mengenai isu tular di media sosial berkaitan gangguan sistem di sebuah stesen minyak Pasir Gudang, Johor.
“Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa gangguan tersebut bukan berpunca daripada internet atau syarikat telekomunikasi, tetapi disebabkan oleh peranti access point (Wi-Fi) di stesen berkenaan.
“Individu yang mengalami kerugian atau kesulitan akibat kejadian itu boleh menghubungi pihak Petron untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, bermula 1 Oktober (hari ini), kuota penggunaan subsidi telah diperbaharui kepada 300 liter.
“Ini bermaksud, sesiapa yang telah menggunakan kuota bulan sebelumnya, kini telah dikembalikan kepada jumlah asal sebanyak 300 liter.
“Kementerian Kewangan juga akan terus memaklumkan kepada rakyat sekiranya terdapat sebarang maklumat tidak tepat yang tular, dan penjelasan rasmi akan segera dikeluarkan,” katanya.

































