Hassan A Gani Pg. Amir
TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Hassan A Gani Pg. Amir menegaskan komitmennya untuk terus mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.
Beliau berkata, mandat yang diberikan rakyat sejak dahulu merupakan amanah besar yang perlu diteruskan demi memperjuangkan pembangunan serta kebajikan masyarakat di Sebatik.
“Kawasan ini mempunyai keunikan tersendiri dan memerlukan sentuhan berterusan, sama ada dari segi ekonomi, infrastruktur mahupun pendidikan.
“Justeru, saya akan pastikan suara rakyat Sebatik terus didengar di peringkat negeri,” katanya di sini, hari ini.
Hassan yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sebatik berkata, sehingga kini parti itu telah merekodkan seramai 6,800 ahli berdaftar, sekali gus menjadi kekuatan utama dalam usaha mempertahankan kerusi tersebut.
“Dengan sokongan padu ahli di peringkat akar umbi, saya yakin kerusi ini dapat terus dikekalkan. Jumlah keahlian yang besar sudah tentu menjadi aset penting kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN kali ini,” katanya.
Menurutnya, jentera Gagasan Rakyat di DUN Sebatik juga telah digerakkan lebih awal sebagai persediaan menghadapi PRN17 yang boleh diadakan pada bila-bila masa.
Beliau berkata, kesiapsiagaan awal itu merupakan strategi penting untuk memastikan kemenangan dapat dikekalkan, sekali gus menambah kekuatan kerusi kepada GRS.
“Ini adalah faktor utama yang memberi keyakinan bahawa DUN Sebatik mampu mempertahankan kemenangan dan terus menjadi benteng sokongan kepada GRS,” tegas Hassan.


































