META dikecam selepas menggunakan gambar murid perempuan bagi mempromosi aplikasi Threads.
LONDON: Syarikat gergasi teknologi, Meta dikecam hebat selepas didakwa menggunakan gambar murid perempuan berpakaian seragam sekolah sebagai bahan promosi untuk aplikasi media sosial Threads, sekali gus mencetuskan kebimbangan ibu bapa mengenai keselamatan anak-anak mereka di alam maya.
Menurut Utusan Malaysia, seorang lelaki berusia 37 tahun dari London mendakwa, beberapa hari lalu dia menerima cadangan untuk memuat turun Threads di aplikasi Instagram miliknya dan promosi tersebut dipaparkan bersama gambar kanak-kanak perempuan seawal usia 13 tahun yang berpakaian seragam sekolah, lengkap dengan nama penuh mereka.
The Guardian melaporkan, gambar-gambar berkenaan dimuat naik oleh ibu bapa di akaun Instagram masing-masing sempena musim persekolahan, sebelum secara automatik dijadikan bahan cadangan promosi oleh Meta tanpa pengetahuan keluarga terbabit.
Seorang bapa kepada murid berusia 13 tahun menyifatkan tindakan itu sebagai sangat menjijikkan kerana ia dilihat seolah-olah mengeksploitasi imej kanak-kanak dalam bentuk yang bersifat seksual.
“Apabila saya mengetahui gambar anak saya digunakan sedemikian rupa oleh sebuah syarikat besar untuk tujuan komersial, ia benar-benar membuatkan saya berasa mual,” katanya.
Lebih membimbangkan, sebuah akaun Instagram dengan hanya 267 pengikut sebelum ini berjaya menarik hampir 7,000 tontonan pada gambar seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun selepas dimasukkan ke dalam cadangan promosi Threads.
Statistik menunjukkan 90 peratus penonton ialah lelaki, separuh daripadanya berusia lebih 44 tahun.
Meta ketika dihubungi mempertahankan tindakannya dengan alasan semua gambar berkenaan dimuat naik secara terbuka oleh ibu bapa dan tidak melanggar garis panduan komuniti syarikat.