NEW DELHI: Perdana Menteri India, Narendra Modi menggesa rakyat negara itu menghentikan penggunaan produk buatan luar negara dan memberi keutamaan kepada barangan tempatan, susulan peningkatan ketegangan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS).
Menurut Utusan Malaysia, gesaan itu dibuat selepas Presiden AS, Donald Trump mengenakan tarif import sebanyak 50 peratus terhadap pelbagai barangan dari India.
Dalam perutusan khas kepada rakyat India pada Ahad, Modi menekankan kepentingan mengutamakan barangan “Swadeshi” — istilah yang merujuk kepada produk buatan India.
“Banyak produk yang kita gunakan setiap hari sebenarnya dihasilkan di luar negara, tetapi kita tidak sedar. Kita perlu singkirkan produk-produk ini dari kehidupan harian kita.
“Kita harus membeli produk yang dihasilkan di India,” kata Modi.
Seruan tersebut disambut pantas oleh penyokong parti pemerintah, yang melancarkan kempen memboikot jenama-jenama terkenal dari AS seperti McDonald’s, Pepsi dan Apple iaitu jenama yang sangat popular dalam kalangan pengguna India, terutama generasi muda.
India, dengan populasi mencecah 1.4 bilion orang, merupakan antara pasaran utama dunia untuk produk pengguna. Banyak jenama antarabangsa beroperasi di India melalui platform e-dagang seperti Amazon.com, dengan capaian luas hingga ke bandar-bandar kecil.
Modi turut menggesa komuniti peniaga supaya memberi keutamaan kepada barangan tempatan, sambil menyatakan langkah tersebut mampu merangsang pertumbuhan ekonomi domestik.
“Apabila kita membeli dan menjual produk tempatan, kita membantu perusahaan kecil, mencipta pekerjaan, dan memperkukuh ekonomi negara,” katanya.
Gesaan ini turut hadir menjelang pelaksanaan inisiatif pengurangan cukai pengguna secara besar-besaran bermula Isnin, yang dijangka memberi kelegaan kepada pengguna serta meningkatkan permintaan dalam pasaran tempatan.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, semakin banyak syarikat di India dilihat mempergiat promosi produk buatan tempatan, seiring dengan dasar kerajaan yang mengutamakan “Aatmanirbhar Bharat” atau India yang berdikari.