WASHINGTON: Sebuah jawatankuasa penasihat vaksin utama di Amerika Syarikat (AS) bersetuju untuk menghentikan saranan agar semua orang dewasa menerima suntikan vaksin Covid-19, sekali gus menamatkan amalan yang digunapakai sejak pandemik bermula.
Menurut Utusan Malaysia, Jawatankuasa Penasihat Amalan Imunisasi (ACIP) turut menolak cadangan supaya vaksin Covid-19 diberikan melalui preskripsi.
Dalam mesyuarat selama dua hari, panel itu menyemak semula pendirian terhadap vaksin gabungan campak, beguk, rubela dan varisela (MMRV), serta menangguhkan undian mengenai vaksin hepatitis B.
Setiausaha Kesihatan, Robert F Kennedy Jr sebelum ini memecat semua 17 ahli jawatankuasa pada Jun lalu dan melantik pengganti baharu, sekali gus mencetuskan bantahan komuniti perubatan.
Perdebatan hangat pada Jumaat tertumpu kepada vaksin Covid-19 yang sejak beberapa tahun lalu disyorkan secara rutin seperti vaksin selesema tahunan.
ACIP memutuskan untuk menamatkan sokongan menyeluruh terhadap pemberian vaksin tersebut, termasuk kepada golongan berisiko tinggi seperti warga emas berusia lebih 65 tahun.
Sebaliknya, keputusan itu kini diserahkan kepada individu selepas berunding dengan profesional perubatan.
Kerajaan persekutuan pada Mei lalu turut menghentikan syor pemberian vaksin Covid-19 kepada wanita hamil yang sihat dan kanak-kanak.
Dalam perbahasan itu, sekutu Kennedy, Dr Robert Malone berhujah tiada bukti kukuh vaksin Covid-19 mampu mencegah jangkitan serius.
Namun Dr Cody Meissner, bekas ahli panel vaksin Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA), menegaskan terdapat data jelas yang menunjukkan vaksin tersebut memberi perlindungan.
Sementara itu, berlaku kekeliruan mengenai vaksin MMRV.
Panel pada Khamis menolak syor pemberian suntikan gabungan MMRV kepada kanak-kanak bawah empat tahun.
Namun pada Jumaat, mereka meluluskan penggunaan dua suntikan berasingan iaitu satu vaksin gabungan campak, beguk dan rubela, serta satu lagi vaksin varisela.
Persatuan Perubatan Amerika (AMA) yang mewakili doktor dan pelajar perubatan berkata, syor baharu mengenai MMRV itu berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ibu bapa.