Tun Musa (tengah) dan Ewon (tiga dari kiri) menyaksikan penyerahan zakat keuntungan Bank Rakyat diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd. Shariff (dua dari kiri) kepada MUIS diwakili Datuk Ruslan Muharam, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama).
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick mengetuai rombongan Bank Rakyat mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini hari ini.
Kunjungan itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff, pegawai-pegawai kanan Bank Rakyat serta wakil Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
Dalam kunjungan tersebut, Bank Rakyat menyerahkan zakat keuntungan berjumlah lebih RM1.7 juta kepada MUIS, meningkat berbanding RM1.3 juta pada tahun sebelumnya.
Ewon berkata, peningkatan sumbangan zakat ini selaras dengan perkembangan positif Bank Rakyat.
“Saya yakin sumbangan ini akan terus meningkat pada tahun-tahun akan datang seiring dengan pelbagai perancangan Bank Rakyat di negeri ini.
“Pada masa sama, saya mengajak rakyat Sabah menggunakan perkhidmatan Bank Rakyat kerana sebahagian keuntungannya dikembalikan semula kepada masyarakat dalam bentuk zakat dan bantuan lain,” katanya kepada pemberita selepas kunjungan itu.
Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Tun Musa atas sokongan terhadap usaha KUSKOP dan agensi-agensi di bawahnya dalam membangunkan keusahawanan serta koperasi di Sabah.
Bank Rakyat merupakan agensi pembiayaan keusahawanan dan peribadi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), yang memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi melalui usahawan dan koperasi di negara ini.


































