KOTA KINABALU: Sebuah rumah roboh manakala dua buah kenderaan rosak dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Madsiang, Jalan Tambunan-Penampang, awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 pada jam 1.21 pagi sebelum sebuah jentera bersama pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang bergegas ke lokasi.
Menurutnya, seramai lapan anggota dikerahkan dalam operasi itu yang diketuai Komander Operasi, PBK II (TBBK I) Nelson Aicung.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati berlaku tanah runtuh yang telah mengakibatkan sebuah rumah roboh serta kerosakan kepada dua buah kenderaan.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba turut memberikan khidmat nasihat kepada penduduk berhampiran agar berpindah sekiranya keadaan memerlukan, berikutan dikhuatiri runtuhan susulan boleh berlaku.
Katanya, anggota bomba turut membuat pemantauan di kawasan sekitar bagi memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.20 pagi.
Operasi berkenaan melibatkan kekuatan logistik sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dengan enam anggota serta sebuah unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) bersama dua anggota.
































