Dari kiri – Naib Presiden I, David Ng Chi Fong; Timbalan Presiden II, Dato Sri Norhaiza Abu Bakar; dan Naib Presiden II, Marlina Madjid pada sidang media hari ini
KOTA KINABALU: Skuad Anak Sabah bakal dilancarkan secara rasmi pada awal Oktober ini di Kompleks Sukan Likas, sekali gus menandakan bermulanya satu gerakan besar anak jati Sabah dalam memperjuangkan kebajikan dan kepentingan masyarakat negeri ini.
Timbalan Presiden II Skuad Anak Sabah, Dato Sri Norhaiza Abu Bakar berkata, pelancaran berkenaan dijangka disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dengan sasaran kehadiran seramai 18,000 orang.
“Skuad Anak Sabah diwujudkan sebagai wadah penyatuan anak jati Sabah untuk memperkukuhkan suara rakyat, menyampaikan amanat serta kepentingan sosial masyarakat kepada pentadbir negeri dan negara. Ia juga menjadi jambatan kerjasama antara generasi muda, belia, dewasa dan warga emas,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, skuad berkenaan beriltizam menjalankan pelbagai aktiviti kebajikan, amal dan bantuan derma kepada golongan memerlukan, selain menyediakan jaringan kerjasama sosial dalam kalangan masyarakat.
“Selain itu, tenaga sukarelawan akan diperkasa untuk membantu kebajikan rakyat, menyemarakkan semangat patriotisme anak jati Sabah dan mempromosikan kepelbagaian etnik masyarakat negeri ini,” jelasnya.
Skuad Anak Sabah digerakkan berlandaskan empat teras utama iaitu kebajikan setiap lapisan, patriotisme, perpaduan etnik serta pemerkasaan ahli.
Norhaiza berkata, pelancaran rasmi itu bakal menjadi titik tolak kepada gerakan anak jati Sabah dalam memperkukuhkan jaringan kebajikan, perpaduan masyarakat, semangat patriotisme serta pemerkasaan belia agar terus menjadi aset pembangunan negeri.
Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah Naib Presiden I, David Ng Chi Fong dan Naib Presiden II, Marlina Madjid.
































