KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 22 tahun maut selepas tertimbus runtuhan tanah ketika menjalankan kerja menggali dan menanam paip di kawasan Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.45 tengah hari sebelum sepasukan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian.
Setibanya pasukan pada jam 2.03 petang, komander operasi PBK I Judi Trisna melaporkan terdapat seorang mangsa tertimbus sedalam kira-kira 10 kaki ketika melakukan kerja menggali dan menanam paip.
“Pasukan bomba segera bertindak menggali tanah di lokasi mangsa tertimbus sebelum mengangkat mangsa menggunakan pengusung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.50 petang, dengan bantuan pihak polis serta KKM.
































