Dr. Jeffrey Kitingan
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan menegaskan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa komited memperjuangkan hak serta kepentingan Sabah berasaskan semangat asal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata, MA63 merupakan asas utama kepada penyertaan Sabah dalam pembentukan Malaysia dan perkara itu tidak boleh dipandang ringan.
“Apabila kita membincangkan tentang sejarah Sabah, tidak dapat dielakkan untuk menyentuh tentang Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63. Perjanjian ini merupakan asas kepada penyertaan Sabah dalam pembentukan Malaysia.
“Justeru, Kerajaan Negeri sentiasa komited memperjuangkan segala hak dan kepentingan Sabah agar pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, selaras dengan semangat asal MA63,” katanya ketika berucap merasmikan Forum Perdana Hari Sabah 2025 di Dewan Serbaguna Wisma Pertanian Sabah, di sini hari ini.
Dr. Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berkata, komitmen mempertahankan hak Sabah melalui MA63 penting supaya negeri ini dapat terus menikmati pembangunan yang seimbang dengan negeri-negeri lain.
Katanya, usaha tersebut juga memastikan rakyat Sabah mendapat manfaat yang adil daripada hasil bumi negeri, selain meningkatkan kesejahteraan hidup generasi masa kini dan akan datang.
“Semangat asal MA63 adalah untuk memastikan penyertaan Sabah dalam Malaysia membawa kemajuan dan kemakmuran kepada rakyat negeri ini.
“Kerajaan Negeri akan terus konsisten dalam memperjuangkan perkara ini di semua peringkat, sama ada melalui perundingan mahupun pelaksanaan dasar pembangunan,” tambahnya.
Forum Perdana Hari Sabah 2025 yang bertemakan “Untukmu Sabah, Tanah Airku” turut diadakan bagi memperkukuh pengetahuan masyarakat mengenai sejarah Sabah, sekali gus menyemai semangat patriotisme terutama dalam kalangan generasi muda.


































