Fadhlina Sidek
KUALA LUMPUR: Sebanyak 7,681 kes salah laku buli direkodkan di sekolah bawah Kementerian Pendidikan (KPM) sepanjang tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, daripada jumlah itu, 1,992 kes melibatkan sekolah rendah, manakala 5,689 kes berlaku di sekolah menengah berdasarkan data Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM).
“Bagi memperkukuh langkah pencegahan, KPM kini sedang menggubal semula Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) bawah Akta Pendidikan 1996.
“Ia bagi memastikan penguatkuasaan lebih berkesan dan memberi panduan jelas kepada guru dalam mengurus kes salah laku disiplin,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ganabatirau Veraman (PH-Klang) mengenai jumlah kes buli yang dilaporkan di sekolah kerajaan seluruh negara pada 2024 serta langkah baharu yang diperkenalkan bagi menangani budaya tersebut.
Fadhlina berkata, usaha menangani gejala buli turut dilaksanakan melalui pelbagai pendekatan pendidikan termasuk pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 yang memberi tumpuan kepada pembentukan karakter, nilai murni serta perkembangan emosi dan peribadi sejak di peringkat prasekolah.
“KPM yakin gejala buli dapat dikurangkan dengan meningkatkan kesedaran dalam kalangan murid melalui pendidikan berterusan.
“Pada masa sama, sokongan masyarakat khususnya ibu bapa amat diperlukan untuk mendidik serta mengawasi anak-anak agar tidak terjebak dengan salah laku buli,” katanya.
Menurut beliau, kementerian memandang serius isu salah laku buli dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku itu di institusi pendidikan.
“Usaha membanteras gejala buli merupakan usaha berpanjangan dan memerlukan komitmen semua pihak. Sejak sekian lama, KPM sudah mempunyai mekanisme khusus antaranya Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/2002: Pelaksanaan Program Sekolah Selamat bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang bebas gangguan.
“Mekanisme ini turut diperkukuh dengan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2011 mengenai pelaksanaan SOP 1:3:7 pelaporan dan tindakan disiplin, yang memastikan setiap kes dilaporkan segera untuk membolehkan tindakan pantas diambil,” katanya.


































