Dr. Roland Chia Ming Shen
KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Inanam, Datuk Dr. Roland Chia Ming Shen membidas keras dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong (Warisan), Justin Wong, sambil menuduh Warisan meninggalkan “rekod hitam” kegagalan ekonomi semasa pentadbiran singkat parti itu.
Dr. Chia berkata, kritikan Wong terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya bersandarkan kepada “angka separuh masak dan dipilih-pilih” yang bertujuan mengelirukan rakyat.
“Justin Wong perlu belajar ekonomi. Kenyataannya tidak lebih daripada usaha terdesak dengan memutar belit angka. Hakikatnya jelas: Warisan gagal mentadbir Sabah dan meninggalkan ekonomi yang hancur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr. Chia menegaskan bahawa di bawah kerajaan Warisan yang dipimpin Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, ekonomi Sabah mengalami kejatuhan paling buruk dalam sejarah moden negeri.
“Pada 2019, ekonomi Sabah bernilai RM85.6 bilion. Setahun kemudian merudum kepada RM77.8 bilion, kerugian hampir RM8 bilion. Itu bermakna penguncupan -9.1%, paling teruk dalam tempoh beberapa dekad. Inilah legasi Warisan: bencana ekonomi dan kesusahan rakyat Sabah,” katanya.
Sebaliknya, Dr. Chia berkata, GRS berjaya menghidupkan semula momentum ekonomi Sabah walaupun berdepan cabaran global.
“Daripada -9.1% pada 2020, pertumbuhan melonjak kepada +1.5% pada 2021, +3.9% pada 2022, +1.3% pada 2023 dan +1.1% pada 2024. Hari ini, ekonomi Sabah kembali kepada RM84.3 bilion. Ini bukti jelas pemulihan dan daya tahan di bawah GRS, bukan kemerosotan seperti yang didakwa Justin,” katanya.
Beliau turut menolak dakwaan Wong bahawa ketiadaan Sabah dalam senarai enam negeri teratas negara mencerminkan kegagalan.
“Perbezaan dengan Perak hanya sekitar 0.1–0.2%. Pertumbuhan Perak dipacu limpahan projek besar di Lembah Klang. Yang lebih penting, Sabah sedang melaksanakan reformasi jangka panjang di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Kelambatan sementara adalah perkara biasa apabila kita membaiki sistem yang rosak…berbeza dengan Warisan yang meninggalkan Sabah dalam keadaan rapuh dan ketinggalan,” katanya.
Dr. Chia turut mengingatkan bahawa kemerosotan ekonomi Sabah sudah bermula sebelum pandemik Covid-19, berdasarkan data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
“Pada 2017, Sabah mencatat pertumbuhan 8.1%. Di bawah Warisan, ia merosot kepada hanya 1.5% pada 2018 dan jatuh lagi kepada 0.7% pada 2019. Ini bukti kelemahan kepimpinan dan kegagalan pengurusan. Covid-19 hanya mendedahkan apa yang sudah pun runtuh,” katanya.
Menurut beliau, pembangkang kini hanya “bermain angka” untuk menutup kegagalannya.
“Antara 2021 hingga 2024, Sabah merekodkan pertumbuhan positif setiap tahun. Hasil negeri mencecah rekod tertinggi. Rizab kewangan melonjak ke tahap yang tidak pernah dicapai sebelum ini. Ini bertentangan dengan model rapuh dan cuai yang ditinggalkan Warisan,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa pada 2019 semasa Warisan berkuasa, hasil negeri hanya RM4.2 bilion. Di bawah GRS, hasil meningkat kepada hampir RM7 bilion pada 2022 dan 2023, yang tertinggi dalam sejarah negeri.
“Rizab kewangan pula meningkat daripada RM3.2 bilion pada 2019 kepada RM8.6 bilion pada 2024, lebih dua setengah kali ganda. Ini bukti kukuh pengurusan berhemat. Warisan tidak boleh lari daripada rekod hitamnya. Jika ini bukan kejayaan GRS, apa lagi?” kata Dr Chia.
Beliau menambah bahawa sikap Warisan yang sentiasa negatif adalah tanda parti itu semakin terdesak.
“Warisan gagal semasa berkuasa, dan kini cuba menipu rakyat dengan angka yang diputar belit. Rakyat jangan sekali-kali tertipu lagi. Di bawah kepimpinan Hajiji, GRS sudah membina semula asas ekonomi Sabah dan mengukuhkan masa depannya,” katanya.


































