Aiman Athirah Sabu (kiri) mengambil peluang untuk memeriksa kesihatan semasa Karnival Komuniti Madani PPR Kota Bharu,Kelantan.
KOTA BHARU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menguatkuasakan tiga undang-undang baharu bermula 1 Januari tahun depan dalam memperkukuh penguatkuasaan peraturan berkaitan pembuangan sampah serta pentadbiran kerajaan tempatan.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, ia membabitkan Rang Undang-Undang 672 (RUU672), pindaan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) serta pindaan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang telah diluluskan.
“Kesemua pindaan akta tersebut kini menunggu proses pewartaan dan akan dilaksanakan selepas mendapat kelulusan penuh serta pewartaan rasmi.
“Kami jangka ia dapat dikuatkuasakan pada 1 Januari 2026 dan kesemua pindaan ini perlu dibuat secara serentak,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Komuniti Madani Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Bharu, di sini kelmarin.
Aiman Athirah memberitahu, RUU672 memberi kuasa kepada kerajaan melaksanakan tindakan lebih tegas terhadap kesalahan pembuangan sampah termasuk pelaksanaan khidmat masyarakat sebagai pengajaran.
Katanya, pelaksanaan undang-undang baharu itu akan memperkukuh kuasa kerajaan tempatan dalam memastikan aspek kebersihan awam dan pengurusan bandar dipatuhi sepenuhnya, termasuk pengenaan tindakan tegas terhadap pesalah berulang.
Dalam pada itu, Aiman Athirah berkata, penganjuran Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB) di PPR Kota Bharu telah mencatat kejayaan membanggakan dengan kutipan lebih 115,000 kilogram (kg) barangan kitar semula yang bernilai RM34,620 sejak dilaksanakan tahun 2020.
































