Fahmi Fadzil (tengah) ketika sesi sidang media pada program “Denyut Nadi Merdeka”: Rapid KL Hidupkan Semangat Bulan Kebangsaan 2025 di Stesen LRT Pasar Seni di sini, kelmarin.
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan individu yang menyebarkan fitnah menerusi video yang tular di media sosial melibatkan Lembaga Tabung Haji (TH) untuk diambil tindakan undang-undang.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, TH telah membuat laporan polis dan laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung perkara itu.
Katanya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap pihak yang menyebarkan fitnah, khususnya selepas penjelasan rasmi diberikan oleh TH dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar di Parlimen.
“Mengenai isu Tabung Haji dan fitnah yang disebarkan dalam media sosial, saya sahkan bahawa pihak Tabung Haji telah membuat laporan. Kedua-dua, laporan polis dan juga kepada pihak MCMC.
“Individu-individu yang didapati telah mengeluarkan fitnah terhadap Tabung Haji terutama selepas penjelasan yang diberikan oleh Tabung Haji dan juga jawapan yang diberikan oleh Menteri Agama dalam Parlimen maka pihak-pihak tersebut sedang dikesan untuk diambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena program “Denyut Nadi Merdeka”: Rapid KL Hidupkan Semangat Bulan Kebangsaan 2025, kelmarin.
Tambah Fahmi, sebaran palsu adalah satu jenayah yang boleh dikenakan hukuman jika disabitkan kesalahan di mahkamah dengan denda sehingga RM500,000.
Katanya, situasi itu sama seperti kes penularan maklumat palsu mengenai kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir yang mana individu-individu sudah dikenakan tindakan undang-undang.
“Kita telah lihat sebelum ini bagi kes Allahyarhamah Zara Qairina. Ada seorang cikgu telah ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah. Seorang lagi telah ditahan reman tiga malam dan saya percaya dalam masa terdekat akan dihadapkan ke muka pengadilan.
“Samalah juga dalam kes Tabung Haji, fitnah yang dilemparkan, maka tindakan akan diambil berlandaskan undang-undang.
“Semestinya Seksyen 233 Penyalahgunaan Rangkaian dan sekiranya ada apa-apa aspek lain maka kita serah kepada pihak PDRM kerana ada dua laporan, kepada MCMC dan juga kepada pihak PDRM,” katanya.
































