WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menyemak rekod lebih 55 juta warga asing yang memiliki visa sah ke negara itu bagi menilai kemungkinan pembatalan atau pelanggaran peraturan imigresen yang boleh membawa kepada tindakan pengusiran.
Menurut Utusan Malaysia, berita itu susulan pengumuman Setiausaha Negara, Marco Rubio berhubung AS akan menghentikan serta-merta pengeluaran semua visa kerja bagi pemandu lori komersial.
Dalam kenyataannya di platform X, Rubio mendakwa pemandu lori asing mengancam nyawa rakyat AS dan menjejaskan mata pencarian pemandu lori tempatan.
Dalam jawapan bertulis kepada Associated Press, jabatan itu menegaskan semua pemegang visa tertakluk kepada proses saringan kelayakan berterusan.
Jika maklumat mendapati tidak layak, visa akan dibatalkan dan jika individu terbabit berada di dalam negara, mereka berdepan pengusiran.
Antara indikator yang diteliti termasuk pemegang visa yang tinggal melebihi tempoh dibenarkan, terbabit dalam jenayah, mengancam keselamatan awam, terlibat dalam aktiviti keganasan atau memberi sokongan kepada organisasi pengganas.
Sejak mengambil alih pentadbiran pada Januari lalu, Presiden Donald Trump melancarkan operasi besar-besaran mengekang migrasi, menyasarkan bukan sahaja pendatang tanpa dokumen tetapi juga mereka yang memiliki status sah.
Walaupun pada awalnya kerajaan mendakwa hanya akan menumpukan kepada penjenayah berbahaya, ribuan orang kini ditahan setiap hari.
Akhbar New York Times melaporkan kerajaan bakal mengusir 400,000 orang menjelang akhir 2025.
Tindakan keras itu termasuk serbuan besar-besaran di restoran, tapak pembinaan, ladang malah di mahkamah sivil di mana imigran hadir untuk urusan sah yang diperlukan bagi menghalalkan status mereka.
Kerajaan turut berusaha menarik balik program Parol Kemanusiaan dan Status Perlindungan Sementara yang sebelum ini membenarkan ratusan ribu orang dari negara-negara bergolak tinggal dan bekerja di AS.
Pemegang visa pelajar juga tidak terkecuali apabila Jabatan Negara mendedahkan minggu ini bahawa visa 6,000 pelajar telah dibatalkan tahun ini.


































