Dr. Jamili (dua dari kiri) menerima cenderamata daripada Presiden SHAREDA Datuk Johnny Wong Chen Yee.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menegaskan komitmen untuk memperkukuh sokongan, melaksanakan reformasi dan memperluas kerjasama dengan semua pemegang taruh industri hartanah demi memastikan setiap rakyat negeri ini mampu memiliki rumah yang selesa, selamat dan bermaruah.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, Kerajaan memahami cabaran semasa yang membelenggu sektor hartanah, terutamanya kenaikan kos bahan binaan, kuasa beli yang semakin menurun, lambakan hartanah mewah serta kesukaran pembiayaan bagi pembeli rumah pertama.
“Faktor-faktor ini menyebabkan kadar pengambilan unit perlahan, terutama di kawasan bandar. Ramai dalam kalangan B40 dan M40 masih berdepan kesukaran merealisasikan impian memiliki rumah sendiri,” katanya.
Dr. Joachim berkata, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) telah merangka strategi jangka pendek dan panjang untuk menangani cabaran tersebut.
Antara inisiatif utama ialah meneruskan Program Residensi Rakyat (PRR) melalui kerjasama awam-swasta bagi menyediakan rumah mampu milik berkualiti serta lengkap dengan kemudahan komuniti, ruang hijau dan infrastruktur moden.
“Sebagai contoh, unit berharga RM300,000 boleh ditawarkan kepada isi rumah yang layak pada harga hanya RM60,000. Model sebegini akan menjadikan impian memiliki rumah lebih hampir kepada kenyataan,” katanya ketika merasmikan SHAREDA PropEX 2025 bertemakan ‘My Perfect Home’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini. Ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais.
Dr. Joachim berkata, selain itu, Kerajaan bekerjasama dengan institusi kewangan untuk meneroka skim pembiayaan inovatif seperti sewa-beli, pakej gadai janji berperingkat serta jaminan kredit perumahan khususnya bagi pembeli rumah pertama.
Beliau turut menegaskan peranan program Sabah-MM2H (S-MM2H) sebagai pemangkin pasaran hartanah, khususnya dalam menyerap lebihan unit kediaman bertingkat tinggi berharga RM600,000 ke atas.
“Langkah ini bukan sahaja merangsang pasaran hartanah, malah memperkukuh sektor pelancongan serta aktiviti ekonomi berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, strategi jangka panjang Kerajaan memberi tumpuan kepada segmen B40 dan M40, dengan mengutamakan pembaharuan bandar, pembangunan padat berorientasikan transit, serta pemberian insentif kepada pemaju bagi meningkatkan bilangan unit mampu milik.
“Matlamatnya bukan sekadar membina rumah, tetapi membina kediaman, membina harapan dan masa depan yang lebih baik untuk rakyat Sabah,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru pemaju dan pemegang taruh agar berani, adaptif dan inklusif dalam pendekatan pembangunan.
“Jalan menuju ‘My Perfect Home’ mesti dibina atas asas kerjasama, inovasi dan belas ihsan. Agenda pembangunan perumahan di Sabah mesti berpusatkan rakyat, melangkaui keuntungan semata-mata,” katanya.
Pada masa sama, Dr. Joachim turut merakamkan penghargaan kepada SHAREDA (Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah) atas penganjuran PropEX kali ke-47 yang disifatkannya sebagai platform penting untuk mengukuhkan kerjasama, inovasi dan pertumbuhan sektor hartanah di negeri ini.
“Komitmen SHAREDA terhadap kecemerlangan dan dedikasi kepada rakyat Sabah amat dihargai. Semoga PropEX 2025 membuka jalan kepada landskap hartanah yang lebih inklusif, berdaya tahan dan dinamik,” katanya.


































