Pemancing menarik seekor jerung berwarna kuning emas di kawasan perairan di Costa Rica.
SAN JOSÉ: Sekumpulan pemancing sukan di Costa Rica menemukan seekor yu gergasi berukuran dua meter dengan ciri genetik aneh dan amat jarang berlaku.
Menurut Utusan Malaysia, ikan uu spesies nurse shark itu didapati mengalami xanthism, iaitu keadaan genetik luar biasa yang menyebabkan pigmen kulit bertukar kepada warna kekuningan atau keemasan.
Fenomena ini pernah dilaporkan dalam beberapa spesies ikan, burung dan reptilia, namun belum pernah direkodkan dalam kumpulan ikan bertulang rawan seperti yu, pari dan skate di Caribbean.
Selain xanthism, yu tersebut turut menunjukkan tanda albino apabila kedua-dua matanya berwarna putih.
Kebiasaannya, nurse shark mempunyai kulit berwarna coklat muda atau gelap yang berfungsi sebagai penyamaran di kawasan terumbu dan dasar laut berbatu.
Menurut penyelidik Universiti Persekutuan Rio Grande, saiz yu berkenaan membuktikan mutasi genetik itu tidak menjejaskan kelangsungan hidupnya, sekali gus menjadikan penemuan tersebut signifikan.
“Penemuan yu kuning emas ini menimbulkan persoalan baharu mengenai genetik dan keupayaan adaptasi spesies ini. Adakah ia hanya berlaku sekali atau petanda kepada kecenderungan genetik baharu dalam populasi setempat?” kata laporan kajian itu.
Spesies burung seperti burung nuri dan kenari juga pernah direkodkan memiliki bulu keemasan akibat keadaan sama, namun saintis menjelaskan warna cerah biasanya menjadikan haiwan lebih mudah dilihat pemangsa, sekali gus menurunkan kadar kelangsungan hidup.
Begitu juga dengan albinisme yang boleh menyebabkan masalah kesihatan, sensitiviti kepada cahaya matahari serta mengurangkan keupayaan untuk memburu dan mendapatkan pasangan.
Fakta mengenai yu tersebut berjaya hidup sehingga dewasa walaupun memiliki kedua-dua keadaan genetik iaitu xanthism dan albino dianggap sesuatu yang amat luar biasa di mana ia membuka ruang penyelidikan baharu terhadap kepelbagaian genetik dan daya tahan populasi nurse shark di perairan Caribbean.


































